MOHAMMAD Nizar (dua kanan) menyampaikan sumbangan dalam program penyampaian bantuan kepada 150 individu sempena Program Meriah Beraya kerajaan negeri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat di Maju Rapat. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
MOHAMMAD Nizar (dua kanan) menyampaikan sumbangan dalam program penyampaian bantuan kepada 150 individu sempena Program Meriah Beraya kerajaan negeri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat di Maju Rapat. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Permohonan negeri Perak kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi menaik taraf Lebuh Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Gerik hanya membabitkan kerja penyenggaraan dan baik pulih jalan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri

Mohammad Nizar Jamaluddin berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak sememangnya tidak memohon kepada kerajaan persekutuan bagi kerja pelebaran atau naik taraf jalan berkenaan.

"Ada dua tugasan (perkara) di situ yang mana untuk kerja pelebaran memang tidak ada permohonan diutarakan oleh Perak, sebaliknya yang kita mohon adalah bagi kerja senggaraan jalan itu seperti meliputi kerja pembaikan lubang pada jalan.

"Permohonan rasmi oleh JKR Perak hanya dibuat bagi tujuan itu," katanya ketika ditemui dalam program penyampaian bantuan kepada 150 individu sempena Program Meriah Beraya kerajaan negeri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat di Maju Rapat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mendakwa ada membuat permohonan kepada KKR bagi menaik taraf JRTB Gerik-Jeli dan sudah menandatangani surat permohonan berkenaan untuk dikemukakan kepada kementerian itu, tahun lalu, membabitkan peruntukan lebih RM80 juta

Sementara itu Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dilaporkan berkata KKR mendapati tiada permohonan menaik taraf jalan itu diterima daripada Kerajaan Perak, selain Kelantan dan Kedah, pada Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Dalam perkembangan lain, Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri masih dalam peringkat kajian awal bagi pembinaan jalan baharu sepanjang 3 kilometer (km) yang akan menghubungkan terus antara Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dengan Lebuhraya Ipoh-Lumut melalui bulatan di jalan Lebuh Meru Raya, di sini.

Menurutnya, cadangan penyambungan antara dua lebuh raya melalui jalan baharu itu juga sudah diutarakan ke pengetahuan kerajaan pusat.

"Cadangan kita adalah untuk sambungkan melalui jalan baharu sepanjang kira-kira 3km daripada bulatan itu sampai Lebuhraya Ipoh-Lumut iaitu kawasan antara Gunung Lang dan Jelapang. Kini dalam proses kenalpasti ruang-ruang tanah dan selepas (bentuk) jajaran itu dikenalpasti, baharu kita akan buka kepada tender.

"Pada masa ini masih peringkat kajian memandangkan laluan itu sangat penting dan di peringkat pusat mereka sudah berikan indikasi bahawa mereka menerima cadangan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 4:59 PM