Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Kerajaan Perak menafikan negeri itu tidak membuat permohonan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi menaik taraf Lebuh Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli di Gerik.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau sendiri menandatangani surat permohonan mengenainya kepada kementerian itu, tahun lalu membabitkan permohonan peruntukan lebih RM80 juta kepada Kerajaan Persekutuan.

Katanya, selain menghantar surat, beliau juga berjumpa sendiri dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lalu iaitu sebelum pembentangan Belanjawan 2023 bagi membincangkan mengenai penggantian struktur laluan JRTB yang menghubungkan Gerik, Perak dengan Jeli, Kelantan.

Beliau berkata, justeru, rasa terkilan dizahirkan terhadap kenyataan Timbalan Menteri KKR, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang menyatakan kementerian itu mendapati tiada permohonan menaik taraf jalan berkenaan diterima daripada Kerajaan Perak selain Kelantan, dan Kedah pada Rolling Plan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12.

"Di peringkat negeri, kita rasa sangat terkilanlah dan melihat perkara ini agak serius. Sebab jawapan (kenyataan) itu dijawab secara lisan di dalam Parlimen dan dimasukkan ke dalam hansard dan orang ramai akan beranggapan apa yang dinyatakan itu betul.

"Jawapan kementerian yang seolah-olah kerajaan Perak tidak memohon membuatkan orang ramai melihat seperti kerajaan negeri tidak bertanggungjawab, tidak prihatin dan tak buat kerja. Ia tidak adil kepada kerajaan negeri sebab kita sudah buat kerja kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kolokium Kerajaan Tempatan negeri Perak (KKT Perak) 2023 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, semalam.

Saarani berkata demikian ketika diminta reaksi berhubung jawapan diberikan Abdul Rahman (Lipis- BN) mengenainya dalam Persidangan Dewan Rakyat pada 28 Februari lalu bagi menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob (PN) yang mana video mengenainya turut disebarkan di media sosial.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, beliau sendiri pernah turun padang bersama Menteri Kanan Kerja Raya sebelum ini, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Jun tahun lalu bagi melihat sendiri kerosakan teruk di beberapa lokasi sepanjang jalan berkenaan.

Katanya, beberapa siri kajian dan pemantauan juga sudah dilakukan termasuk daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Majlis Daerah Gerik (MDG) berkenaan kerosakan struktur lebuh raya berkenaan.

Katanya lagi, susulan itu, beliau berharap kenyataan Abdul Rahman itu dapat diperbetulkan ketika sesi penggulungan Dewan Rakyat, kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 8:58 AM