Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Gerik: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengesahkan seekor gajah mati selepas terbabit kemalangan dengan beberapa kenderaan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini, malam tadi.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, sebelum itu pihaknya memperoleh pelbagai versi maklumat lokasi kejadian namun, akhirnya dapat mengesahkan ia berlaku berhampiran persimpangan ke perkampungan Air Banun, Gerik.

"Gajah yang mati itu adalah gajah betina. Bangkai ia akan ditanam nanti," katanya dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pelanggaran berlaku apabila gajah itu tiba-tiba melintas di KM50 JRTB Gerik-Jeli.

Katanya, SUV dipandu lelaki 35 tahun dari arah Kelantan melanggar haiwan berkenaan selepas kenderaannya dirempuh dari belakang oleh kereta yang dipandu lelaki 39 tahun.

"Pemandu dan penumpang kedua-dua kenderaan cedera ringan dan bangkai gajah diserahkan kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut," katanya.

GAJAH betina yang mati selepas berlanggar dengan kenderaan di Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli. FOTO tular.
GAJAH betina yang mati selepas berlanggar dengan kenderaan di Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli. FOTO tular.

Terdahulu, kemalangan itu tular di media sosial dengan bangkai gajah dilihat terdampar di bahu jalan.

Berdasarkan rakaman video tular, tiada pemandu mahupun penumpang dilihat cedera, manakala sekurang-kurangnya dua kenderaan yang rosak.

Dalam kejadian lain sebelum ini, seorang lelaki parah selepas dipijak gajah di Batu 11, berdekatan Tugu Peringatan, JRTB Gerik-Jeli ketika sedang membuang air besar di anak sungai berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 7:33 AM