Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Asrama Anak-Anak Yatim Darul Falah (Perkasa) di Bukit Payong mengalu-alukan kemasukan penghuni baru di asrama berkenaan.

Pengetuanya Norina Mohamad berkata, pihaknya menawarkan kemasukan penghuni baru di asrama berkenaan untuk sesi baru yang bakal bermula tahun hadapan.

"Anak yatim, yatim piatu dan anak asnaf boleh membuat permohonan untuk memasuki Perkasa.

"Pihak kami akan membuat penialaian berdasarkan permohonan yang dibuat, sekiranya menepati syarat yang ditetapkan, mereka akan diterima masuk," katanya ketika ditemui pada program Titipan Kasih Bersama Kedai Ayamas di Perkasa, semalam.

Norina berkata, Perkasa mempunyai kapasiti yang boleh memuatkan 200 penghuni dalam satu masa.

"Seramai 83 penghuni yang terdiri daripada anak yatim dan yatim piatu mendiami Perkasa sekarang.

"Paling kurang seramai 100 kemasukan baru yang akan diterima Perkasa pada sesi baru pada tahun hadapan," katanya.

Menurutnya, penghuni yang menetap di Perkasa akan dibiayai sepenuhnya dan mereka akan diberi bimbingan dalam pelajaran.

"Banyak manfaat yang diperoleh apabila menetap di Perkasa terutama bagi anak yatim piatu yang selama ini terbiar dan kekurangan kasih sayang," katanya.

Sementara itu penghuni, Nurul Natasa Eliana Mohd Fauzi, 17, dari Kampung Buluh Gading berkata, dia tinggal di Perkasa sejak berusia 12 tahun.

"Bapa, Mohd Fauzi Muda, 42, meninggal pada 2008 kerana penyakit paru-paru berair manakala ibu, Timah Junus, 39, menghidap penyakit kecing manis dan meninggal pada 2013.

"Sejak ibu bapa meninggal, saya menumpang kasih di Perkasa. Kehidupan harian termasuk pendidikan lebih terurus di Perkasa," katanya.

Siti Nur Farah Akma Abdullah, 17, dari Kampung Sungai Las berkata, dia seronok tinggal di Perkasa kerana mempunyai ramai kawan.

"Dapat belajar dan bermain bersama rakan antara sebab utama saya berasa selesa tinggal di Perkasa.

"Tidak lama lagi akan menduduki peperiksaan penting oleh itu boleh belajar secara berkumpulan," katanya yang kematian ibu, Kartini Mohamad, 30, sejak lima tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 2:38 PM
Pengarah Eksekutif Kara Holdings Sdn Bhd, Abd Rahman Md Dawi (tiga dari kiri) dan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek (kanan) menyerahkan  sumbangan kepada Norina (dua dari kanan) pada program Titipan Kasih Bersama Kedai Ayamas. FOTO GHAZALI KORI
Pengarah Eksekutif Kara Holdings Sdn Bhd, Abd Rahman Md Dawi (tiga dari kiri) dan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Norina (dua dari kanan) pada program Titipan Kasih Bersama Kedai Ayamas. FOTO GHAZALI KORI