JPK UiTM Cawangan Seremban bergambar bersama mahasiswa dari universiti di Surabaya.
JPK UiTM Cawangan Seremban bergambar bersama mahasiswa dari universiti di Surabaya.
Karmila Syuhada Makhtar


JAWATANKUASA Perwakilan Kolej (JPK) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban menganjurkan Program Globalisasi Mahasiswa: Kembara Surabaya.

Ia dalam usaha pertukaran budaya bersama mahasiswa di Universiti Surabaya, Indonesia dan aktiviti kebajikan di rumah anak yatim, baru-baru ini.

Pengarah program berkenaan, Nur Syafinaz Zaid berkata, acara yang dianjurkan bersama staf residen kolej bertujuan menyedarkan mahasiswa untuk lebih prihatin dan mengadakan hubungan yang baik bersama masyarakat luar. Di samping dapat meningkatkan kemahiran komunikasi dan pengalaman mereka yang terbabit.

Menurutnya, antara objektif program bagi mendedahkan ahli JPK acara antarabangsa yang dapat membuka minda dan sumber pengetahuan serta pengalaman yang luas. Seterusnya, bagi meningkatkan nilai kemasyarakatan dalam kalangan mahasiswa.

“Melalui program pengantarabangsaan ini yang tidak hanya mendekati masyarakat setempat saja, sebaliknya mahasiswa mampu bergaul mesra, meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan mengenali sosio-budaya masyarakat Indonesia khususnya di Surabaya.

“Hal ini, walaupun penggunaan bahasa yang tidak jauh beza jika dibandingkan dengan bahasa Melayu, tetapi kemahiran berkomunikasi sangat penting terutama apabila bersama masyarakat yang berlainan budaya.

“Selain itu, Malaysia dan Indonesia adalah ahli dalam organisasi ASEAN, maka program ini berhasrat untuk menyahut semangat komuniti ASEAN yang bersatu padu, bertoleransi dan setia kawan yang tinggi daripada peringkat generasi muda seperti mahasiswa yang bakal mengemudi masa hadapan negara,” katanya.

Objektif seterusnya bagi menjadi penanda aras antara sistem pembelajaran daripada segi akademik dan bukan akademik UiTM bersama universiti lain yang terpilih di Indonesia iaitu Universitas Airlangga.

“Kami melawat dan turut mengadakan sesi santai bersama mahasiswa di universiti berkenaan. Hasilnya, dapat bertukar pelbagai pengalaman, idea dan cara terbaik menyelesaikan permasalahan.

“Oleh itu, ahli JPK memperoleh ilmu pengetahuan yang berguna untuk dibawa pulang dan diaplikasikan pada masa hadapan.

“Selain itu, sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial kami terhadap golongan asnaf, anak-anak yatim dan kurang bernasib baik, program ini turut dilihat sebagai pemangkin kepada mahasiswa untuk berdaya maju tanpa meninggalkan golongan yang memerlukan,” katanya.

Rombongan JKP memilih Panti Asuhan Al-Hasyimi untuk aktiviti kebajikan bersama anak-anak yatim, di samping memberi sumbangan kepada mereka. Kehadiran ahli JKP secara tidak langsung menceriakan anak-anak yatim berkenaan.

Nur Syafinaz berkata, program pertukaran budaya yang mendapat tajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu dianggap mampu melahirkan mahasiswa tempatan untuk berdaya saing, selain dapat menimba pengalaman di usia muda, holistik, mampu meningkatkan daya berkomunikasi dan tidak gentar untuk berhadapan dengan dunia luar.

“Kami berharap program ini mendorong dan memberi motivasi kepada mahasiswa untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan menghasilkan program yang bermanfaat supaya dapat berkomunikasi dengan pihak orang luar lebih baik, sekali gus menjadi pemangkin perubahan untuk meningkatkan diri pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Disember 2019 @ 10:15 AM