Oleh Nazdy Harun

Marang: Berkumpul beramai-ramai di kawasan lapang sekolah, sambil mengalunkan ayat suci al-Quran sepanjang Ramadan ini.

Itu yang dilakukan 918 pelajar dan 70 guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Marang di sini, dalam usaha mengimarahkan bulan mulia dan menggalakkan pelajar mendalami kitab suci.

Pengetuanya, Arina Abd Rahman berkata, program Anjakan Muafakat Nekad itu menggalakkan pelajar menyertai tadarus al-Quran beramai-ramai dan ia dilaksana di padang sekolah untuk keselesaan semua.

"Program Ihya Ramadan ini membabitkan semua pelajar dan berlangsung 30 minit pada setiap Isnin, Selasa dan Rabu.

"Kami menggunakan konsep bertadarus di kawasan lapang di pekarangan sekolah bagi memberi keselesaan kepada pelajar memandangkan ruang surau yang terhad.

"Pelajar pula dibahagikan mengikut tahap kemahiran mereka menguasai bacaan al-Quran dan mereka akan dibimbing guru-guru sepanjang program berlangsung," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, pendekatan secara berkumpul dan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran itu memberi impak positif dalam kalangan pelajar dan kerohanian mereka.

"Pada Khamis, mereka akan mengalun surah Yaasin, menunaikan solat duha dan solat hajat," katanya.

Pelajar, Alif Nasruddin Mohamad, 15, berkata, selesa mengalunkan ayat suci al-Quran di kawasan lapang sekolah dan tidak perlu bersesak di ruangan yang sempit.

"Setiap pelajar juga dipecahkan mengikut kumpulan kecil membolehkan guru-guru memantau bacaan kami," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar, Sumayah Shahidah Sulaiman, 17, berkata, program itu baik untuknya memperbaiki diri pada Ramadan dan menjadi insan celik al-Quran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 7:05 AM
PELAJAR membaca al-Quran selama 30 minit sebelum bermula sesi pembelajaran di SMK Seberang Marang.
PELAJAR membaca al-Quran selama 30 minit sebelum bermula sesi pembelajaran di SMK Seberang Marang.