Mahaizura Abd Malik


TIDAK lekang menunaikan solat berjemaah dan bergilir-gilir mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran hingga khatam berkali-kali.

Itu amalan mulia sekumpulan pelajar Madrasatul Quran Kubang Bujok, Serada Kuala Terengganu, Terengganu yang mengisi setiap masa dengan sebaik mungkin sepanjang tiga minggu menjalani kuarantin Covid-19 di Hospital Hulu Terengganu.

Seorang daripada pelajar itu, Muhammad Iqbal Baharum Shah,31, berkata, amalan itu dilakukan mereka sejak menjalani kuarantin 14 Mac lalu.

“Kumpulan kami kira-kira 24 orang diletakkan dalam satu dewan untuk menjalani kuarantin kerana satu kes dikesan berlaku di madrasah kami.

“Mulanya kami hendak buat khatam al-Quran beramai-ramai dan solat hajat mohon Allah permudahkan dan semua selamat daripada Covid-19, tapi al-Quran tak cukup sebab ramai tertinggal di madrasah.

“Seorang daripada kami bertanya jururawat jika ada al-Quran lebih sebelum keesokkannya al-Quran yang disumbangkan wakil rakyat setempat sampai kepada kami,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, amalan berkenaan sudah menjadi rutin harian mereka ketika berada di madrasah.

“Sama seperti di madrasah, kami akan solat berjemaah dan membaca Yassin setiap hari selepas Subuh. Selepas Maghrib hingga Isyak pula, kami isi masa lapang dengan mengaji al-Quran.

“Selain mengadakan khatam beramai-ramai itu, ada antara kami berjaya khatam secara persendirian dan menghafaz juzuk al-Quran sepanjang menjalani tempoh kuarantin itu.


“Kami juga menawarkan diri menunaikan solat hajat dan bacaan tahlil arwah bagi menunaikan permintaan jururawat mahupun doktor tanpa sebarang upah bayaran,” katanya.

Sementara itu rakannya, Muhd Yusri Yusof,25, berkata dia memanfaatkan masa tiga minggu itu dengan menelaah kitab pelajaran, menghafaz selain berjaya khatam dua kali.

“Khatam pertama saya membaca satu juzuk bergilir-gilir secara berkumpulan dengan kawan-kawan manakala secara persendirian saya berjaya khatam 30 juzuk dalam tempoh dua minggu.

“Ia bukan sekadar mengisi masa lapang, tetapi sudah menjadi rutin kerana kami dilatih dan terbiasa melakukannya ketika di madrasah,” katanya.

Dia yang kini sudah selamat kembali ke pangkuan keluarga di Kota Kinabalu, Sabah turut menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada barisan petugas hadapan terutama doktor dan jururawat yang melayani mereka dengan baik selama dalam tempoh kuarantin.

“Alhamdulillah kami bernasib baik disahkan negatif wabak itu cuma menjalani prosedur kuarantin tetapi kami tetap berwaspada kerana ‘musuh’ ini tak nampak pada mata kasar.

“Apapun tempoh kuarantin itu memberikan pengalaman cukup berharga kepada kami terutama berpeluang melihat sendiri pergorbanan doktor dan jururawat bertugas secara dekat.

“Memang tak terbalas jasa dan kesungguhan mereka dalam menjaga dan melayan kami bagi memastikan kami benar-benar selamat daripada wabak bahaya ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 8:58 PM