Mohd Jafni Md Shukor (baju merah) pada Program Singgah Sahur anjuran Kelab Media Johor (KMJ) di sini, awal pagi tadi. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Mohd Jafni Md Shukor (baju merah) pada Program Singgah Sahur anjuran Kelab Media Johor (KMJ) di sini, awal pagi tadi. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Oleh Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Proses pembersihan dan pengurusan sampah pukal pasca banjir di negeri ini hampir mencapai tahap 100 peratus dan dijangka selesai minggu ini.

Bagaimanapun, ia tidak termasuk kawasan di Yong Peng kerana proses pembersihan di beberapa kampung belum dapat diselesaikan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kerja pengurusan sampah pukal di beberapa kawasan lain yang terjejas teruk akibat banjir sebelum ini seperti di Segamat, Labis, Bekok, Chaah dan Batu Pahat telah siap.

Beliau berkata, semua sampah pukal di kawasan terjejas itu sudah dihantar ke pusat pelupusan sampah di Moakil, Segamat.

"Bagi di Batu Pahat dan Yong Peng, ia membabitkan 120 kampung dan untuk Batu Pahat sudah selesai semalam, sekarang yang tinggal di bahagian Yong Peng sahaja membabitkan kampung-kampung.

"Bagi mempercepatkan proses pengurusan sampah dilakukan, kerajaan negeri meluluskan peruntukan bagi mengusahakan lori tambahan bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor bagi menyelesaikan isu sampah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Singgah Sahur anjuran Kelab Media Johor (KMJ) di sini, awal pagi tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh.

Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM300,000 untuk pengurusan sampah pukal pasca banjir di Segamat dan Labis manakala RM800,000 untuk kawasan Batu Pahat dan Yong Peng.

Katanya, proses pengurusan sampah pukal ini membabitkan lebih 11,000 premis perumahan dengan jumlah kutipan seluruh negeri kira-kira 5,800 tan.

"Kalau diikutkan, kutipan sampah biasa setiap sehari kira-kira 200 tan, tapi bila kita menggunakan banyak kenderaan untuk selesaikan segera, ia dapat diselesaikan dalam dua minggu. Jika tidak, ia akan mengambil tempoh hampir sebulan, ditambah dengan sampah sedia ada.

"Sampah ini jika tidak diuruskan segera, ia akan mula berbau selepas tiga hari dan kita bimbang ada pembawaan penyakit dan sebagainya, sebab itu kita ambil inisiatif awal keluarkan bajet untuk selesaikan isu sampah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 3:58 PM