BEKAS kakitangan HM dan BH bergambar pada Majlis Tautan Kasih di Balai Berita NSTP hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
BEKAS kakitangan HM dan BH bergambar pada Majlis Tautan Kasih di Balai Berita NSTP hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Seramai 160 bekas kakitangan Harian Metro (HM) dan Berita Harian (BH) menghadiri majlis perjumpaan semula pada Majlis Tautan Kasih di pejabat New Straits Times Press (NSTP) di Bangsar, di sini, hari ini.

Program itu menghimpunkan bekas kakitangan jabatan pengarang termasuk bekas pengarang kumpulan, pengarang kanan dan wartawan selain jurugambar, sub editor serta grafik dalam majlis anjuran Kelab Alumni Riong Bangsar (Karib).

Pengerusi Karib, Datuk Abdul Karim Mustaffa berkata, perjumpaan itu adalah program pertama yang menghimpunkan bekas kakitangan sejak kelab ditubuhkan tahun lalu.

Menurutnya, program berkenaan bukan saja untuk mengamit memori dan mengukuhkan ukhwah sekali gus memperkenalkan kelab berkenaan.

"Sebelum ini kami mengadakan ziarah melawat bekas kakitangan yang mempunyai masalah kesihatan dan memerlukan.

"Sebelum ini Karib berjalan secara kelompok kecil dan ramai yang bertanya apa itu Karib. Jadi kita ambil keputusan mengumpulkan bekas kakitangan yang pernah berkhidmat bersama jabatan pengarang HM dan BH," katanya ketika ditemui.

Turut hadir, Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said, Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin, bekas Pengarang Kumpulan BH, Datuk Manja Ismail dan Datuk Mahfar Ali, bekas Pengarang Kumpulan HM, Datuk Mustapa Omar dan Tuan Asri Tuan Hussein, kartunis legenda Datuk Mohammad Nor Khalid atau Datuk Lat serta Timbalan Pengarang Kumpulan BH, M Thilinadan.

Abdul Karim berkata, setakat ini Karib mempunyai 116 ahli yang berdaftar dan pihaknya yakin selepas program ini akan lebih ramai bekas kakitangan akhbar berkenaan mendaftar dalam kelab itu.

Katanya, semua bekas kakitangan juga digalakkan mendaftar dengan pihaknya untuk kebajikan dan penyaluran bantuan bagi berkeperluan.

"Kami juga dalam perancangan untuk mengadakan program seperti latihan meningkatkan ekonomi dan keagamaan selain menubuhkan portal rasmi.

"Kami juga bekerjasama dengan pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk bekas kakitangan yang berkeperluan di negeri itu dan tiga bekas pekerja juga sudah menerima bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 2:44 PM