PROGRAM Ziarah Kasih Karib ke atas anak-anak bekas Eksekutif Copy Editor Harian Metro, Kamarulzaman Pid.
PROGRAM Ziarah Kasih Karib ke atas anak-anak bekas Eksekutif Copy Editor Harian Metro, Kamarulzaman Pid.
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kelab Alumni Riong Bangsar (Karib) semalam melakukan Program Ziarah Kasih Karib ke atas anak-anak bekas Eksekutif Copy Editor Harian Metro, Kamarulzaman Pid yang meninggal dunia 29 Disember lalu.

Karib dalam kenyataannya berkata, ziarah dilakukan di kediaman Allahyarham Kamarulzaman di Bandar Tasik Puteri, Rawang, dekat sini.

Kamarulzaman yang meninggal dunia dalam usia 50 tahun akibat komplikasi pelbagai penyakit di Hospital Sungai Buloh (HSB) sebelum ini memulakan kerjaya sebagai wartawan di Berita Harian pada 1996.

"Kedatangan Jawatankuasa Karib dan beberapa bekas petugas Berita Harian dan Harian Metro disambut wakil waris Allahyarham iaitu Irwan Sulaiman yang kini bersama isteri beliau, menjaga anak-anak Allahyarham.

"Anak-anak Allahyarham iaitu Sufiyah Raihany, 23, masih menuntut dalam tahun tiga Universiti Teknologi Malaysia (UTM); Aidil Firhan, 22, tahun dua Universiti Selangor (Unisel); Amirul Firhan, 17, Tingkatan 5; Shafina Raihany, 15, Tingkatan 3, Shafiyah Raihany, 12, sedang menunggu peluang ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan yang bongsu Suhaila Ilman Raihany, 9, darjah tiga.

"Ziarah Kasih Karib kali ini turut disertai Pegawai Seranta Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Asyraf Dahari. YPM adalah satu daripada Rakan Strategik KARIB," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, selepas tahlil ringkas, Karib menyampaikan sumbangan wang tunai RM3,700 menerusi sumbangan khas yang dikutip daripada rakan-rakan bekas Berita Harian dan Harian Metro untuk Tabung Kamarulzaman Pid-KARIB; RM300 daripada Tabung Ihsan Karib dan RM1,000 sumbangan secara one-off oleh YPM.

Turut disampaikan, sumbangan beg Sekolah YPM untuk kegunaan anak-anak Allahyarham yang masih bersekolah.

"Pihak YPM juga mempertimbangkan bantuan lebih mampan menerusi skim bantuan sedia ada YPM, termasuk skim anak angkat dan seumpamanya untuk membantu pembiayaan pendidikan anak-anak Allahyarham.

"Pihak Karib merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang dan mereka yang menjayakan Ziarah Kasih kali ini.

"Semoga usaha ini sedikit sebanyak meringankan beban anak yatim piatu itu dan memberi ruang supaya bantuan berterusan oleh pelbagai agensi berkaitan dapat disalurkan," katanya.

Pada 15 Ogos 2017, isteri Kamarulzaman iaitu Lamizah Ab Hamid meninggal dunia pada usia 44 tahun akibat menghidap barah payudara tahap empat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 3:45 PM