AHMAD Zaini (tiga dari kanan) berbual dengan anak Allahyarhamah  Salina selepas majlis pengebumian di di Tanah Perkuburan USJ 22, Subang Jaya. FOTO  Saifullizan Tamadi
AHMAD Zaini (tiga dari kanan) berbual dengan anak Allahyarhamah Salina selepas majlis pengebumian di di Tanah Perkuburan USJ 22, Subang Jaya. FOTO Saifullizan Tamadi
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Jenazah Pengarang Berita Kanan BH, Salina Abdullah, 53, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 22, Subang Jaya, Selangor kira-kira jam 3 petang tadi.

Allahyarhamah meninggal dunia pada 8.20 pagi tadi di rumahnya di Subang Jaya.

Beliau meninggalkan dua anak perempuan, Nurul Liana dan Nurul Hana Irfan.

Nurul Liana yang ditemui hari ini reda dengan pemergian ibu tercinta dan mendoakan jasadnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

"Ibu insan sangat penting dalam hidup saya. Ibu membesarkan kami dua beradik dengan penuh kasih sayang. Pemergian ini berat tapi kami reda dengan ujian dan ketentuan-Nya.

"Saya bersyukur semua urusan dipermudahkan dan berjalan lancar sehingga ke urusan pengebumian," katanya.

Anak sulung arwah itu juga melahirkan rasa lega, sempat beliau dan adiknya berbakti menjaga ibunya sejak sakit sehingga ke saat terakhirnya hari ini.

Akuinya, dia dan adiknya juga berbangga kerana ramai kenalan ibunya yang mengakui semangat juang Allahyarhamah ketika melawan penyakit dihidapinya itu.

Allahyarhamah meninggal dunia selepas beberapa tahun menderita akibat penyakit kanser servik serta akibat jangkitan selepas pembedahan.

Majlis solat jenazah dan pengebumian Allahyarhamah tadi berlangsung lancar, dihadiri kira-kira 300 orang termasuk ahli keluarga serta rakan-rakan Allahyarham.

Turut hadir memberi penghormatan kepada Allahyarhamah tadi, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman serta Timbalan Editor Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Azhari Muhidin, yang mewakili pengurusan tertinggi Media Prima Berhad.

Ahmad Zaini dan Azhari turut sempat memberi pesanan serta kata-kata semangat kepada kedua-dua anak Allahyarhamah yang ditemui sebaik selesai majlis pengebumian tadi.

Selain bertanggungjawab dalam suntingan berita ehwal semasa, Allahyarhamah sebelum ini pernah bertugas sebagai pengarang berita di beberapa unit di BH termasuk Berita Minggu, Rencana dan Hiburan.

Berpengalaman lebih 20 tahun dalam dunia kewartawanan, Allahyarhamah pernah menyertai tugasan dalam dan luar negara termasuk liputan misi Malaysian Battalion (MALBATT) di Afghanistan.

Seluruh kakitangan BH mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarhamah dan pemergiannya adalah satu kehilangan besar buat seluruh warga BH.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 5:26 PM