Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah menyantuni mangsa banjir, ketika melawat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Beserah, selepas kawasan sekitar dinaiki air banjir sejak dua hari lepas. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG

Khairulmizan Yahya

Kuantan: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa berwaspada dengan menjaga keselamatan anak-anak ketika musim banjir.

Baginda bertitah, ibu bapa perlu memberi lebih perhatian kepada anak mereka sepanjang musim tengkujuh.

"Saya nasihatkan kepada ibu bapa supaya jaga anak-anak supaya tidak ada kehilangan dalam keadaan macam ini (banjir)," titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika ditemui media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Beserah, di sini, hari ini.

Seramai 226 penduduk daripada 50 keluarga terjejas akibat banjir kini ditempatkan di PPS berkenaan sejak dua hari lalu.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menasihatkan kepada semua penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir untuk terus berwaspada dan mendengar arahan pihak kerajaan jika diarahkan berpindah.

"Semua penduduk harus berwaspada dengan keadaan (banjir) dan dengarlah arahan pihak kerajaan supaya berpindah atau berada di PPS.

"Saya harap juga PPS ini sentiasa berada dalam keadaan selesa dan bersih, jagalah kebersihan dan banyakkan bersabar termasuklah juga media," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 4:13 PM