SULTAN Ibrahim Iskandar berkenan berangkat ke Batu Pahat bagi menziarahi, menyantuni dan  mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir di beberapa PPS, hari ini. FOTO ihsan RPO
SULTAN Ibrahim Iskandar berkenan berangkat ke Batu Pahat bagi menziarahi, menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir di beberapa PPS, hari ini. FOTO ihsan RPO
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan pihak berkuasa serta jabatan dan agensi berkaitan memastikan bekalan keperluan mangsa banjir sentiasa mencukupi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Sultan Ibrahim bertitah, ia bagi memastikan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS mendapat keperluan yang secukupnya.

"Berikutan keadaan cuaca tidak menentu, saya mahu pihak berkuasa serta semua agensi terbabit sentiasa memastikan barangan keperluan mangsa-mangsa banjir sentiasa mencukupi di PPS.

"Pada masa sama, kepada semua pegawai dan anggota agensi penguatkuasaan yang terbabit dalam operasi banjir, sentiasa berhati-hati sewaktu menjalankan tugas anda," titah baginda dalam kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebook, hari ini.

Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat ke Batu Pahat bagi menziarah dan menyantuni mangsa banjir di beberapa PPS.

Pada lawatan itu, baginda meluangkan masa beramah mesra dan memberikan kata-kata semangat serta meninjau persekitaran PPS.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, Batu Pahat mencatatkan 23,370 mangsa banjir daripada 6,602 keluarga yang ditempatkan di 78 PPS.

Sultan Ibrahim berangkat dari Johor Bahru kira-kira jam 9.30 pagi tadi menaiki kenderaan pacuan empat roda dan terus ke persinggahan pertama di PPS Sekolah Agama Taman Sri Kota, Yong Peng yang menempatkan 380 mangsa.

Baginda kemudian ke PPS SMK Dato' Seth yang menempatkan 357 mangsa, PPS Dewan Orang Ramai Parit Yaani (431 mangsa) dan Dewan Orang Ramai Sri Medan (236 mangsa).

Sultan Ibrahim turut mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dengan kerjasama Malaysia Retail Chain Association (MRCA).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2023 @ 4:13 PM