SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar. FOTO Ihsan RPO.
SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar. FOTO Ihsan RPO.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan bantuan keperluan makanan yang disediakan atas dasar membantu golongan memerlukan perlu dilakukan secara ikhlas, dan tanpa membabitkan sentimen perkauman.

Sultan Ibrahim dalam hantaran terbaru di akaun Facebook baginda bertitah, ketika ini terdapat ramai individu tanpa mengira agama dan bangsa mengalami kesulitan termasuk kehilangan pekerjaan dan terputus pendapatan, serta berdepan beban kewangan untuk membeli barangan keperluan makanan.

"Jika mahu membantu mereka yang dalam kesusahan, bantulah semua tanpa mengira kaum dan agama. Lakukan secara ikhlas tanpa menimbulkan sebarang isu berkaitan perkauman," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian sebagai mengulas satu rakaman video yang tular di media sosial semalam.

Ia mengenai bantuan keperluan makanan harian yang disediakan di sebuah kedai runcit di Skudai, di sini, yang menimbulkan soal perkauman, apabila memilih hanya kaum tertentu untuk menerima bantuan itu.

Sementara itu, Sultan Johor menegaskan betapa pentingnya hubungan antara kaum dan toleransi yang sentiasa menjadi tunjang perpaduan Bangsa Johor.

"Mengambil contoh kurniaan bantuan makanan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ), ia disampaikan kepada rakyat tanpa mengira agama dan bangsa di seluruh Johor setiap minggu.

"Niat kita adalah untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan, tidak perlu menimbulkan soal perkauman dalam bantuan yang dihulurkan," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 1:16 PM