ABDUL Aziz pada Majlis Khatam Al-Quran Perdana Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
ABDUL Aziz pada Majlis Khatam Al-Quran Perdana Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar. FOTO FARIZ ISWADI ISMAIL
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kekurangan diri kerana masalah penglihatan, bukan alasan buat pemuda ini tidak mendalami dan mempelajari ayat suci al-Quran.

Sebaliknya, Abdul Aziz Tasri, 27, nekad belajar menggunakan al-Quran Braille hingga membolehkan dirinya khatam al-Quran lebih sembilan kali.

Penuntut Sarjana Muda Tahfiz al-Quran Wal Qiraat Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) itu berkata, dia mula mempelajari kalam Allah itu sejak usianya lapan tahun lagi.

"Mula-mula agak sukar juga membaca al-Quran guna Braille kerana saya dilahirkan celik, namun lama kelamaan saya boleh kenal huruf dan memperbaiki kelemahan sebelum semakin menguasai.

"Seingat saya mula-mula khatam ketika tingkatan lima dan sejak itu sudah sembilan kali saya khatam al-Quran," katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, walaupun perlu bekerja keras untuk mempelajari al-Quran berbanding individu normal namun tidak mematahkan semangatnya untuk mendalami kalam suci Allah itu.

"Sebenarnya kita di sisi Allah memang semua orang tidak sempurna tetapi Allah beri kelebihan dan kekurangan masing-masing cuma bergantung kepada diri kita hendak atau tak nak.

"Saya tidak jadikan kekurangan sebagai kelemahan sebaliknya saya usaha lebih sedikit berbanding orang normal untuk capai matlamat saya mahukan.

"Alhamdulillah saya juga bersyukur, Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) memainkan peranan besar membantu dan membimbing golongan seperti saya ini dengan mengadakan kelas agama serta mencetak al-Quran Braille dan buku agama," katanya.

Mengulas mengenai masalah penglihatan dialaminya, Abdul Aziz berkata, dia dilahirkan normal namun matanya perlahan-lahan menjadi buta sepenuhnya selepas usianya lima tahun akibat demam panas, sekali gus meragut deria penglihatannya.

"Memang agak mencabar kerana saya masih memerlukan bantuan orang lain dalam rutin harian terutama untuk membacakan buku rujukan ketika membuat tugasan kuliah.

"Untuk komputer pula saya menggunakan alat bantuan suara untuk memudahkan saya mengendalikannya terutama dalam menyelesaikan tugasan.

"Kalau hendak ke mana-mana pula saya lebih selesa menggunakan khidmat kereta sewa atau e-hailing," katanya yang berhasrat menjadi seorang pensyarah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 6:35 AM