Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Mempelajari teknik membaca al-Quran Braille bukan suatu yang mudah, malah Wan Mohd Fadhil Wan Pauzi mengakui mengambil masa enam bulan untuk menguasainya.

Wan Mohd Fadhil, 34, yang buta sejak berusia 15 tahun berkata, pada awalnya dia tidak yakin untuk membaca al-Quran Braille dengan betul kerana ia hanya menggunakan jari untuk merasai titik-titik pada setiap baris ayat.

"Bagaimanapun dengan pembacaan secara berterusan selain bimbingan guru serta rakan ketika belajar di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak, Kuala Lumpur membantu meningkatkan kebolehan saya membaca.

"Cabaran utama bagi memahirkan diri membaca al-Quran bertulisan Braille adalah mengenal huruf kerana ia hanya dapat dibezakan menerusi kecekapan deria rasa jari pada titik-titik tulisan yang disentuh," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Desa Baru, Kedai Mulong, di sini, semalam.

Bercerita mengenai masalah penglihatan yang dialami, Wan Mohd Fadhil berkata, dia dilahirkan normal namun matanya perlahan-lahan menjadi buta sepenuhnya ketika berusia 15 tahun akibat masalah rabun kritikal.

Katanya, ia berlaku selepas enam bulan menjalani pembedahan memasukkan kanta mata sekali gus meragut deria penglihatannya.

"Saya bersyukur kerana Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) memainkan peranan besar membantu dan membimbing golongan seperti saya ini dengan mencetak al-Quran Braille dan buku agama untuk dijadikan rujukan," katanya.

Selepas hampir 10 tahun, dengan kepakaran dan kebolehan dimilikinya, Wan Mohd Fadhil dilantik sebagai Ahli Lajnah al-Quran Braille oleh Lembaga Pengawalan Dan Pelesenan Pencetakan al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi sesi 2021-2022 bagi membuat semakan bagi jilid al-Quran Braille.

"Kebiasaannya bagi semakan setiap juzuk, saya mengambil masa selama 10 jam untuk memastikan huruf dan tanda bacaan adalah betul pada al-Quran Braille sebelum ia dicetak untuk kegunaan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

"Dengan penghasilan al-Quran Braille ia secara tidak langsung menjadi satu wadah bagi komuniti OKU untuk mendampingi dan mengkaji isi kandungan serta pengajaran al-Quran dengan lebih mudah dan terperinci," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 11:43 AM
WAN Mohd Fadhil membuat semakan bagi jilid al-Quran Braille. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
WAN Mohd Fadhil membuat semakan bagi jilid al-Quran Braille. FOTO Hazira Ahmad Zaidi