Raja Noraina Raja Rahim


PERSATUAN Haiwan Malaysia (MAA) tetap berpendirian anjing liar perlu dijaga kebajikan dan tidak dizalimi oleh semua pihak terutama pihak berkuasa tempatan (PBT).

Presidennya, Arie Dwi Andika berkata, bukan semua haiwan liar bertindak ganas terhadap manusia dan tidak wajar jika menghukum semua haiwan dengan cara tidak berperikemanusiaan.

“Kes serangan anjing liar adalah kes terpencil. Jadi tidak adil kerana seekor anjing, semua haiwan di jalanan dikenakan hukuman mati.

“Jangan kerana seekor haiwan bertindak ganas (mencederakan orang) kita mahu menghukum dan beranggapan semua haiwan itu ganas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kanak-kanak lelaki cedera digigit anjing liar di Sekolah Agama Rakyat Haji Awaluddin, Telok Kemang, Port Dickson, petang semalam.

Mengulas lanjut, Arie berkata, persatuan tidak pernah menghalang PBT melaksanakan penguatkuasaan terhadap haiwan liar, namun perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan ditetapkan.

Menurutnya, ramai salah faham dengan perjuangan persatuan sehingga ada yang mendakwa pihaknya menghalang PBT mengambil tindakan untuk menangkap haiwan liar.

“Kita tidak melarang sebaliknya mahu PBT laksanakan tangkapan mengikut kaedah ditetapkan dan menjaga kebajikan haiwan bukan secara zalim. Itu yang kita suarakan selama ini dan berharap PBT menjalankan penguatkuasaan dengan baik.

“Orang ramai perlu tahu persatuan tidak mempunyai kuasa dan peruntukan untuk bertindak, sebaliknya hanya berperanan memperjuangkan nasib haiwan dizalimi,” katanya.

Arie berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dalam masa terdekat bagi membincangkan mengenai isu itu susulan kejadian murid lelaki cedera digigit anjing di kawasan terbabit.

Berita berkaitan

MPPD cari anjing liar gigit budak

'Cukuplah anak saya jadi mangsa'

Kanak-kanak cedera digigit anjing liar

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 6:53 PM