FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seorang wanita warga emas mendakwa 'diserang' anjing liar ketika berbasikal di Taman Bahau, pagi tadi.

Dalam kejadian pada 7.30 pagi itu, Jamaliah Daud, 60, dia terkejut dengan kehadiran dua ekor anjing liar di kawasan berkenaan.

"Saya segera melompat dari basikal dan terjatuh atas jalan. Entah bagaimana saya diberi kekuatan untuk melawan anjing yang mahu menerkam apabila berdiri dan mengangkat basikal.

"Niat hati nak baling basikal itu ke arah anjing. Namun, anjing liar berkenaan lari sebelum saya sempat berbuat demikian," katanya kepada Harian Metro.

Jamaliah berkata, dia yang lebih sebulan tidak mengayuh mengambil keputusan bagi memulakan semula aktiviti berkenaan pada pagi ini namun tidak sangka dikejar anjing liar.

Katanya, akibat kejadian itu dia mengalami kesakitan di lutut dan pinggul.

"Saya mohon pihak berkaitan supaya mengambil tindakan terhadap anjing liar sebelum keadaan menjadi bertambah buruk," katanya yang turut memuat naik status kejadian di Facebook miliknya.

Sementara itu, Yang Dipertuan Majlis Perbandaran Jempol ( MPJL) Raja Norazli Raja Nordin berkata, pihaknya kerap membuat operasi tangkapan anjing liar di kawasan Taman Bahau selain di Taman Desa Puteri dan Taman Kasih Putera dan operasi akan diteruskan dari masa ke masa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 4:28 PM