CINCIN dipotong (gambar kecil) yang tersangkut pada kemaluan seorang lelaki. FOTO ihsan Bomba
CINCIN dipotong (gambar kecil) yang tersangkut pada kemaluan seorang lelaki. FOTO ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tindakan seorang lelaki menyambut tahun baharu 2021 dengan menyarung cincin pada kemaluannya mengundang padah apabila dia yang mengalami kesakitan terpaksa bergegas ke hospital bagi mengeluarkan barangan berkenaan.

Malah, bagi mengeluarkan cincin berkenaan pihak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, terpaksa menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan.

Berikutan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikejarkan ke hospital berkenaan.

Ketua BBP Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung khidmat khas itu pada 4.07 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya tiba di HSB pada 4.12 pagi untuk melakukan operasi memotong cincin berkenaan.

"Operasi dilakukan dengan berhati-hati menggunakan alat pemotong cincin untuk mengelak kecederaan serius pada kemaluan mangsa. Mangsa berusia 38 tahun dan sudah berkahwin," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Naufal berkata, operasi tamat pada 5.51 pagi tadi.

Katanya, ini adalah kes pertama membabitkan cincin tersangkut di kemaluan pada awal tahun baharu ini.

"Operasi disertai empat anggota dari BBP Alor Setar dan sebuah jentera EMRS," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 4:32 PM