Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Media Prima Berhad (Media Prima) hari ini menganjurkan Majlis Minum Petang Serenitea bagi menghargai jasa kerajaan negeri di bawah pimpinan Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan 21 rakan strategik yang sekian lama memberi kepercayaan kepada konglomerat media dan hiburan terkemuka negara itu.

Antara rakan strategik yang diraikan di Seri Mutiara di sini adalah Tenaga Nasional, II-VI Malaysia Advance, Pacific Inter-Link, Atomy Malaysia, Western Digital, KL Bock, Penang Development Corporation, UDA Holdings, Universiti Sains Malaysia, Pak Mat Western dan Venture Corporation Limited.

Turut diraikan MMC Penang Port, Penang Halal International, Amanah Ikhtiar Malaysia, Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad, Exim Bank, Sugar Gold Sdn Bhd, ISE Solutions (M) Sdn Bhd, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, Zakat Pulau Pinang dan Kolej Islam Teknologi Pulau Pinang.

Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata, pihaknya berbesar hati dengan sokongan rakan strategik yang memberi kepercayaan apabila memilih menempah pengiklanan melalui platform Media Prima terutama sempena sambutan Hari Ulang Tahun Ke-73 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang tahun lalu.

Pada majlis itu, Syed Hussian turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada Yayasan Amal Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang juga sebahagian daripada hasil pelaburan iklan rakan strategik Media Prima sempena sambutan bersejarah itu.

"Kami di Media Prima, komited untuk meneruskan perkhidmatan media kami kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan syarikat di sini dengan capaian penonton tertinggi di negara ini melalui semua platform media kami.

"Insya-Allah, marilah kita terus berganding bahu dan menikmati manfaat kerjasama ini untuk melangkah jauh hadapan," katanya ketika berucap dalam majlis itu.

Turut berangkat hadir, Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak diiringi isteri, Toh Puan Khadijah Mohd Nor selain Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Rafiq Razali dan Ketua Pegawai Operasi, Media Prima Omnia, Mohd Effendi Omar.

AHMAD Fuzi (kanan) menerima cenderahati daripada Syed Hussian. FOTO Mikail Ong
AHMAD Fuzi (kanan) menerima cenderahati daripada Syed Hussian. FOTO Mikail Ong

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 7:17 PM