Oleh Audrey Dermawan
audreymd@nst.com.my

Georgetown: Pengurusan tertinggi Media Prima Bhd (MPB) hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di sini.

Kunjungan diketuai Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan disertai Pengarah Urusan Kumpulan, Rafiq Razali; Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Omnia, Datuk Michael Chan dan Pengarah Jualan Media Prima Omnia (Kerajaan & Wilayah) Mohd Efendi Omar.

Pertemuan selama satu setengah jam itu berlangsung dalam suasana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menyifatkan pertemuan dengan Ahmad Fuzi sebagai berjaya, Syed Hussian berkata, kunjungan adalah untuk mengeratkan lagi hubungan sedia ada antara MPB dan kerajaan Pulau Pinang.

"Dalam pertemuan ini kami memperkenalkan banyak platform yang ditawarkan oleh Media Prima dan bagaimana ia dapat digunakan untuk kerjasama yang lebih erat antara MPB dan kerajaan negeri.

Syed Hussian Aljunid (dua dari kiri), Rafiq Razali (kiri), Michael Chan (dua dari kanan) dan Mohd Efendi Omar (kanan) ketika bertemu Yang di-Pertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Eastern & Oriental Hotel, Penang. FOTO MIKAIL ONG
Syed Hussian Aljunid (dua dari kiri), Rafiq Razali (kiri), Michael Chan (dua dari kanan) dan Mohd Efendi Omar (kanan) ketika bertemu Yang di-Pertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Eastern & Oriental Hotel, Penang. FOTO MIKAIL ONG

"Kami juga menerima dua hingga tiga cadangan dari Ahmad Fuzi, termasuk dalam sektor pelancongan yang kami percaya dapat membantu kerajaan Pulau Pinang," katanya selepas pertemuan itu.

Mengulas lanjut, Syed Hussian berkata dengan pelbagai platform komunikasi yang ditawarkan, MPB yakin dapat membantu kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Berdasarkan pengalaman, kita dapat melakukan banyak perkara dan bekerjasama dengan kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung perancangan mereka melalui pelbagai platform kami," katanya.

Dalam pada itu, Syed Hussian berkata, pengurusan tertinggi MPB juga menyampaikan undangan kepada Ahmad Fuzi untuk lawatan ke Sri Pentas dan Balai Berita.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 5:41 PM