Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Media Prima Berhad (Media Prima) menghargai jasa Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan 24 rakan kongsi strategiknya yang sentiasa memberi sokongan berterusan terhadap syarikat media terkemuka di negara ini.

Antara rakan strategik yang diraikan adalah Tenaga Nasional; Micron Memory Malaysia; Kumpulan Petra; Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad; II-VI Malaysia Advance; Pacific Inter-Link; PKT Logistics Group; Atomy Malaysia; Telekom Malaysia; Western Digital; Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan MIE Corporate Holdings.

Turut diraikan UDA Holdings; Kumpulan Aspen; Perikatan Nasional; Universiti Sains Malaysia; Pak Mat Western; Venture Corporation Limited; Badan Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang; Universiti dan Kolej SEGi ; Penang Port; Penang Halal International, MMC Corporation dan Reveron Consulting.

Kesemuanya diraikan dalam satu Majlis Makan Malam Penghargaan Media Prima di sebuah hotel di sini, hari ini.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata, pihaknya berbesar hati dengan sokongan rakan strategik yang memberi kepercayaan apabila memilih menempah pengiklanan melalui platform Media Prima terutama sempena hari lahir Ahmad Fuzi awal tahun ini.

Katanya, satu daripada penerbitan Media Prima iaitu The New Straits Times Press Berhad (NSTP) mempunyai ciri khas dalam memberi penghormatan kepada Ahmad Fuzi yang dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri kelapan pada 1 Mei lalu.

"Yang di-Pertua Negeri memberi sumbangan besar kepada negara melalui peranan aktifnya dalam kerajaan dan hari ini, beliau terus menghulurkan sumbangannya kepada rakyat Pulau Pinang apabila bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri dalam pelbagai inisiatif selain memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat disamping meningkatkan kedudukan ekonomi negeri ini.

TUN Ahmad Fuzi dan Puan Khadijah Mohd Nor diiringi Syed Hussian ketika Majlis Makan Malam Penghargaan Media Prima. FOTO Mikail Ong.
TUN Ahmad Fuzi dan Puan Khadijah Mohd Nor diiringi Syed Hussian ketika Majlis Makan Malam Penghargaan Media Prima. FOTO Mikail Ong.

"Kami di Media Prima komited untuk terus meluaskan perkhidmatan kami kepada kerajaan negeri dan syarikat di sini yang kami pasti satu daripada capaian penonton tertinggi di negara ini melalui semua platform media kami," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Turut hadir Ahmad Fuzi dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd Nor; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali serta Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain yang mewakili kerajaan negeri.

Syed Hussian berkata, Media Prima ialah syarikat konglomerat media bersepadu terkemuka di Malaysia dengan capaian yang meliputi seluruh penduduk dan mempunyai pengikut yang ramai di seluruh negara.

Katanya, Media Prima mempunyai stesen televisyen dan radio terkemuka, jenama akhbar popular termasuk satu yang tertua di negara ini, syarikat beli belah di rumah yang berkembang maju, syarikat pengiklanan luar rumah nombor satu negara dan syarikat produksi yang mencipta kandungan untuk tonton khalayak luar Malaysia.

"Media Prima juga adalah peneraju dalam jangkauan digital pada platform mudah alih di Malaysia, dan menduduki tempat ketiga, di belakang Google dan Facebook di negara ini pada semua platform digital.

"Pasukan kami di Media Prima Omnia menyediakan lebih daripada sekadar jualan pengiklanan, mereka menyediakan penyelesaian media dan kami akan terus berada di sini untuk membantu," katanya.

Dalam pada itu, Syed Hussian berkata, Media Prima pernah menganjurkan beberapa acara padang seperti Karnival Jom Heboh dan rumah terbuka korporat untuk Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina pada masa lalu.

"Namun, selama hampir dua tahun, dengan suasana norma baharu, malam ini adalah acara fizikal 'besar' pertama yang dianjurkan yang kami berharap situasi Covid-19 akan bertambah baik dan kami akan kembali ke Pulau Pinang dengan lebih banyak aktiviti dan acara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 10:08 PM