HALIMAH bersama Puteh ketika Pertandingan Beruk Pulas Nyior. FOTO Nurul Fatihah Sulaini.
HALIMAH bersama Puteh ketika Pertandingan Beruk Pulas Nyior. FOTO Nurul Fatihah Sulaini.
Nurul Fatihah Sulaini


Besut : Aksi bersahaja seorang nenek melayan kerenah beruk peliharaannya ketika menunggu giliran untuk menyertai pertandingan beruk pulas nyior mencuri tumpuan orang ramai.

Halimah Md Ghani, 56, ibu kepada tiga orang anak mula membela beruk sejak lapan tahun kerana minat serta membantu suami mencari rezeki untuk keluarga.

Dia yang menetap di Kampung Gong Tengah, di sini berkata penyertaan kali pertama dalam pertandingan itu sempena program Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) di Jabi adalah sekadar suka-suka.

"Saya mula bela Puteh sejak tiga tahun lalu selepas dibeli daripada tuan asalnya dengan harga RM400.

"Proses untuk menjinakkannya tidak mengambil masa yang lama kerana beruk ini sudah sedia terlatih dan Puteh sering dibawa bersama untuk melakukan kerja-kerja memetik buah kelapa.

"Walaupun pernah sekali tali tengkuknya terlucut namun Puteh tidak pernah bertindak agresif hingga boleh membahayakan keselamatan kami sekeluarga," katanya yang ditemui pada program berkenaan di Jabi, hari ini.

Halimah berkata, makanan utama beruk peliharaannya adalah nasi yang digaul bersama kuah serta minum susu.

"Selalunya saya bersama suami Tuan Muda Tuan Mat, 59, akan membawa empat ekor beruk untuk memetik kelapa secara bergilir-gilir sebelum buah itu dijual secara borong kepada anak yang menjalankan perniagaan memproses santan.

"Walaupun kerja petik kelapa dilakukan oleh beruk namun saya memerlukan tenaga untuk mengawalnya," katanya.

Dalam pertandingan itu, seramai 40 peserta mengambil bahagian yang mengambil masa dua jam.

Haiwan berkenaan diberi masa satu minit untuk menjatuhkan sebanyak mungkin buah kelapa bagi menentukan siapa pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2023 @ 7:34 PM