Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Kebolehan menjinakkan beruk liar atau beruk hutan sejak kecil ternyata mampu menjana pendapatan seorang warga emas dari Kampung Tanjung Batu Rakit di sini.

Muhammed Yusof, 71, mampu meraih pendapatan antara RM500 hingga RM600 sehari hasil daripada upah memanjat pokok kelapa yang dilakukan oleh beruk peliharaannya.

Katanya, menjadi rutinnya membawa dua beruk untuk ke kebun bagi memetik buah kelapa.

"Setiap hari, saya dan dua beruk akan keluar seawal jam 7 pagi dan pulang ke rumah jam 2 petang untuk melakukan kerja-kerja memanjat dan mengutip kelapa.

"Biasanya, lebih 1,000 biji kelapa boleh di petik dan dijual dalam masa sehari dengan harga 40 sen sebiji," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Muhammed berkata, dia sendiri tidak menyangka kebolehan menjinakkan haiwan itu membolehkan dia meraih pendapatan.

MUHAMMED Yusof bersama beruk peliharaannya mengambil upah memanjat pokok kelapa di Kampung Tanjung, Batu Rakit. FOTO Ghazali Kori
MUHAMMED Yusof bersama beruk peliharaannya mengambil upah memanjat pokok kelapa di Kampung Tanjung, Batu Rakit. FOTO Ghazali Kori

"Setakat ini, saya ada enam beruk dan ada di antaranya dibeli ketika masih kecil dengan harga serendah RM80 sehingga RM250 selain ada yang ditangkap menggunakan perangkap.

"Apabila dibeli atau ditangkap, saya akan latih dengan cara tersendiri dan kebiasaannya saya mengambil masa antara satu hingga dua minggu untuk menjinakkannya," katanya.

Katanya lagi, memelihara haiwan berkenaan tidak memerlukan kos yang banyak sebaliknya mampu memperoleh pendapatan yang lumayan.

"Sebenarnya tak susah sangat untuk jaga beruk ini kerana haiwan ini sukar dijangkiti penyakit berbahaya dan hanya perlu diberi susu segar dan vitamin.

"Saya juga pernah ditawarkan harga mencecah ribuan ringgit daripada peminat haiwan ini tetapi saya keberatan untuk menjualnya," katanya yang sudah 50 tahun memelihara beruk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 5:54 PM