Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Koperal polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan berkaitan penyeludupan 29 migran warga Myanmar, 16 Januari lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Syed Shaifful Amri Syed Solihuddin, 38, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati menjalankan penyeludupan migran iaitu tujuh lelaki dan enam perempuan warga Myanmar di dalam sebuah van di hadapan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan di Tunjong pada 1.30 pagi, 16 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menjalankan penyeludupan migran iaitu 15 lelaki dan seorang wanita warga Myanmar di sebuah rumah inap desa di Jalan Pintu Geng, di sini pada 9.45 pagi, 16 Januari lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26B(d) Akta Atipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, yang mana ia kesalahan keselamatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan boleh dikenakan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Mac sebagai tarikh deposisi iaitu keterangan migran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 12:38 PM
SYED Shaifful Amri didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas dua pertuduhan berhubung penyeludupan 29  migran warga Myanmar pada 16 Januari lalu di hadapan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan di Tunjong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SYED Shaifful Amri didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas dua pertuduhan berhubung penyeludupan 29 migran warga Myanmar pada 16 Januari lalu di hadapan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan di Tunjong. FOTO Nik Abdullah Nik Omar