Aizat Sharif


Kangar: Warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menjalankan penyeludupan migran di Wang Kelian, lapan tahun lalu.

Tertuduh, Suchat Tohdin, 34, yang tinggal di Johor Bahru dan bekerja di kedai makan hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Suchat didakwa menjalankan penyeludupan migran terhadap seorang warga Myanmar di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Padang Besar, 5.30 pagi antara Ogos 2014 hingga 10 Mac 2015.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

TERTUDUH (dua kiri)  dibawa keluar dari mahkamah. FOTO Aizat Sharif
TERTUDUH (dua kiri) dibawa keluar dari mahkamah. FOTO Aizat Sharif

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun serta denda atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis, Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam, Baharudin Baharim.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 April hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Prosiding berkenaan turut dihadiri isteri mangsa yang juga warga Malaysia.

Tertuduh dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kes pemerdagangan orang dan penemuan kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015 dan ditahan, 8 Mac lalu selepas waran tangkap terhadapnya dan sembilan lagi individu termasuk seorang warga Bangladesh dikeluarkan sejak 2016 oleh Mahkamah Sesyen Kangar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 11:29 AM