SERAMAI 10 anggota daripada Pasukan Khas MUST Team JPBM turut sama dalam operasi SAR mengesan seorang lagi mangsa dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, petang semalam. FOTO Ihsan JBPM
SERAMAI 10 anggota daripada Pasukan Khas MUST Team JPBM turut sama dalam operasi SAR mengesan seorang lagi mangsa dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, petang semalam. FOTO Ihsan JBPM
Redzuan Muharam


Ampang: "Tanda itu ada, dia lebih banyak diam berbanding sebelum ini," luah Nuraini Ibrahim.

Nuraini adalah ibu kepada Muhammad Rizqullah Mohd Shafie, 10, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, di sini, petang semalam.

Menurut Nuraini, kali terakhir dia bertemu dengan Muhammad Rizqullah adalah pada Jumaat iaitu sebelum anak keempatnya itu ke sekolah sesi petang.

"Pagi sehari sebelum kehilangan anak, saya sempat berbual dengannya dan pesan jangan lambat naik van.

"Dia naik satu van dengan Ammar (Wan Muhammad Ammar Wan Mohd Noor Hafizan).

"Itu kali terakhir jumpa dengannya, tetapi sebelum ini memang setiap hari tengok dia, tanya sudah makan ke belum," katanya ketika ditemui di tapak operasi dekat Kampung Kemensah, Ulu Kelang, di sini, hari ini.

Turut berada di tapak operasi mencari dan menyelamat (SAR) adalah ahli keluarganya yang datang dari Pahang.

Nuraini berkata, Muhammad Rizqullah ada membuat permintaan sebelum ini, namun belum sempat ditunaikannya.

"Permintaan itu ada tetapi tak dapat tunaikan…dia nak berjalan, nak holiday (bercuti)," katanya.

Menurut Nuraini, dia berdoa dan berharap jasad anaknya ditemui walau dalam keadaan apa sekalipun.

"Saya harap jasad anak ditemui walau sudah tidak bernyawa," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan dua kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, di sini.

Mangsa pertama, Wan Muhammad Ammar, 8, ditemukan pada 6.30 petang semalam dalam jarak 200 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

Operasi SAR terhadap Nuhammad Rizqullah memasuki hari kedua bermula 8 pagi tadi dengan tumpuan di sekitar kawasan kanak-kanak itu dipercayai terjatuh sehingga ke kawasan tebing Sungai Kemensah.

Seramai 25 anggota terdiri daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang, pasukan Multi Skill Team (MUSTeam) dan Unit Anjing Pengesan (K9), manakala 37 lagi membabitkan pelbagai agensi lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 5:59 PM