BLAKE (belakang) dan Pop  membantu dalam operasi mencari mangsa dua kanak-kanak yang tergelincir dan hanyut dalam longkang di Jalan Ukay Perdana. FOTO Saifullizan Tamadi.
BLAKE (belakang) dan Pop membantu dalam operasi mencari mangsa dua kanak-kanak yang tergelincir dan hanyut dalam longkang di Jalan Ukay Perdana. FOTO Saifullizan Tamadi.
Redzuan Muharam


Ampang: Selepas lapan jam, Blake dan Pop iaitu anjing unit pengesan (K9) milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dibawa keluar daripada lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak dikhuatiri lemas, Muhammad Rizqullah Mohd Shafie.

Blake dan Pop sebelum ini terbabit dalam misi SAR mangsa tragedi runtuhan cerun di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Genting Highlands-Batang Kali dekat Hulu Selangor.

Pegawai Bomba Kanan 1 Unit K9 JBPM Fadzil Arshad berkata, Blake dan Pop tiba di tapak operasi dekat yang terletak di Kampung Kemensah, Hulu Klang, di sini jam 8 pagi sebelum memulakan tugas selepas semua yang terbabit diberi taklimat oleh pegawai operasi.

Menurutnya, Blake dibawa pengendalinya yang juga pegawai bomba unit K9, Mizam A/L Bah Dong, manakala Pop dibawa pengendali juga pegawai bomba unit K9, Ansley Damian Leong.

"Hari ini, Blake dan Pop dibawa untuk membantu operasi SAR di laluan anak Sungai Kemensah.

"Kedua-duanya memberi kerjasama yang baik cuma belum dapat mengesan mangsa.

"Kedua-duanya akan turut serta dalam operasi SAR esok," katanya ketika ditemui di tapak operasi dekat Kampung Kemensah, di sini, hari ini.

ANGGOTA Pasukan Khas MUST Team JPBM turut sama dalam operasi SAR mengesan seorang lagi mangsa dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, petang semalam. FOTO Saifullizan Tamadi.
ANGGOTA Pasukan Khas MUST Team JPBM turut sama dalam operasi SAR mengesan seorang lagi mangsa dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, petang semalam. FOTO Saifullizan Tamadi.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan dua kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, di sini.

Mangsa pertama, Wan Muhammad Ammar berusia lapan tahun ditemui jam 6.30 petang semalam pada jarak 200 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

Sementara, Muhammad Rizqullah Mohd Shafie masih hilang dan belum ada petunjuk ditemui pihak berkuasa setakat ini.

Operasi hari ini membabitkan 25 anggota terdiri daripada anggota Balai Bomba Ampang, pasukan Multi Skill Team (MUSTeam) dan unit K9.

Seramai 37 lagi yang terbabit dalam SAR terdiri daripada agensi lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2023 @ 6:45 PM