WAN Muhammad Ammar. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
WAN Muhammad Ammar. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang: Hasrat seorang kanak-kanak lelaki menyelamatkan rakannya yang dihanyutkan arus deras berakhir tragedi apabila dia ditemukan lemas berhampiran longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Wan Muhammad Ammar Wan Mohd Noor Hafizan berusia lapan tahun ditemui di tebing batu kira-kira 200 meter dari lokasi dia terjatuh ke dalam longkang sedalam 1.2 meter.

Ibu mangsa, Noraliza Yusoff, 34, berkata, ketika kejadian, dia dan suaminya, Wan Mohd Noor Hafizan Wan Mustafa, 41, berada di rumah mereka di Apartmen Sri Puteri, Ukay Perdana.

"Sebelum kejadian, Ammar ada memaklumkan mahu bermain bersama rakan di luar.

"Namun, saya ingat dia hanya bermain di dalam kawasan apartmen sahaja seperti kebiasaannya memandangkan dia tidak keluar bermain di luar (kawasan apartmen).

"Sejam kemudian, rakannya datang ke rumah memaklumkan Ammar lemas selepas terjatuh ke dalam longkang yang terletak di luar kawasan apartmen," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Ampang, di sini, hari ini.

NORALIZA menunjukkan gambar anaknya, Wan Muhammad Ammar. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
NORALIZA menunjukkan gambar anaknya, Wan Muhammad Ammar. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin

Noraliza berkata, rakan anaknya yang berada di lokasi kejadian ada memaklumkan ketika kejadian Ammar cuba menyelamatkan seorang lagi kanak-kanak yang dihanyutkan arus deras.

"Rakan dia kata kanak-kanak itu main di dalam longkang sebelum dihanyut arus deras. Mereka dengar kanak-kanak itu meminta tolong dan Ammar terus berlari ke arah rakannya itu.

"Meskipun tidak pandai berenang, dia nekad menyelamatkan rakannya dengan memegang tangan, namun dia sendiri yang tergelincir dan terjatuh ke dalam longkang berkenaan," katanya.

Dia yang juga suri rumah berkata, anak sulung daripada lima beradik itu ada menunjukkan beberapa perubahan sebelum kejadian.

"Beberapa hari sebelum kejadian, Ammar secara tiba-tiba minta saya jangan tinggalkan dia kerana tidak mahu tinggal di rumah anak yatim dan berjanji mahu menjaga adik-beradiknya yang lain

"Saya hanya membalas dengan nasihat supaya mendoakan supaya saya panjang umur. Namun, tak sangka dia pula yang pergi dulu meninggalkan kami," katanya.

Sementara itu, ayahnya, Wan Mohd Noor Hafizan berkata, dia kerap menasihati anaknya itu supaya tidak bermain hujan dan tidak keluar dari kawasan apartmen.

"Dia ada minta kebenaran nak bermain dengan kawan dia tetapi saya tidak tahu bila dia keluar bermain di luar kawasan apartmen (ketika kejadian).

"Saya tidak kisah jika nak main air hujan tapi saya banyak kali pesan supaya main hujan hanya dalam kawasan apartmen sahaja.

"Namun, perkara sudah berlaku. Saya reda dengan ketentuan ini. Cuma saya sebak bila melihat isteri tidak berhenti menangis selepas menerima berita pemergian anak," katanya yang bekerja sebagai juruteknik.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan dua kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Perdana, di sini.

Mangsa pertama, Wan Muhammad Ammar berusia lapan tahun ditemui jam 6.30 petang tadi pada jarak 200 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

Sementara, mangsa kedua, Muhammad Rizqullah Mohd Shafie berusia 10 tahun dilaporkan masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2023 @ 11:38 PM