Zairee Mohd Yasak


Alor Gajah: Pengunjung sedang mandi di pantai Pengkalan Balak, Masjid Tanah, cemas apabila terserempak buaya berenang dekat dengan pantai itu, tengah hari ini.

Amalina khairunnisa , 24, yang berada di pantai itu dikejutkan dengan jeritan amaran seorang lelaki yang meminta pengunjung sedang mandi mengosongkan pantai, pada 12.30 tengah hari.

"Ketika kejadian sebahagian besar pengunjung yang sedang mandi adalah kanak-kanak. Apa lagi, mereka terus mengosongkan pantai selepas diarahkan lelaki terbabit.

"Saya juga sempat tengok buaya itu tenggelam timbul beberapa saat sebelum hilang. Saya syak ia sudah berenang ke kawasan lain agaknya," katanya.

Katanya, pada mulanya ramai menyangka objek dilihat itu kayu hanyut dan hanya tahu ia adalah buaya selepas dijeritkan lelaki berkenaan yang juga pekerja pembersihan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Februari 2017 @ 2:20 PM