Zaid Salim

Kuala Nerus: Hakisan pantai menyebabkan seorang pengusaha chalet berdepan kerugian RM30,000 apabila sebuah daripada sembilan rumah penginapan miliknya menunggu saat dihanyutkan ombak.

Kesan hakisan teruk berikutan fenomena air pasang besar menyebabkan chalet dibina pada 2003 itu kini berada dalam keadaan 'tergantung' apabila lebih tiga suku tapak chalet sudah dihanyutkan ombak.

Pemiliknya, Abdul Wahab Othman, 62, berkata, hakisan teruk membadai kawasan chalet miliknya di Pantai Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini, bermula pada malam sambutan Tahun Baru 2022.

"Orang ramai menyambut tahun baru dengan kegembiraan tetapi lain pula dengan saya yang 'berduka' apabila melihat ombak membadai kawasan chalet dan kini hanya menunggu masa untuk hanyut.

"Apapun, saya terpaksa reda kerana ini ketentuan Allah SWT," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Abdul Wahab berkata, dia membina chalet itu di atas tanah seluas 0.6 hektar, namun akibat hakisan pantai sehingga kini, kira-kira 18 meter kawasan chalet berkenaan sudah berada di dalam laut.

Pengusaha Chalet, Abdul Wahab Othman, 62 kelihatan sedih melihat salah satu unit bilik chalet miliknya yang menunggu masa untuk runtuh selepas dipukul ombak ketika tinjauan di Pantai Kampung Tanjung di Batu Rakit.  FOTO GHAZALI KORI
Pengusaha Chalet, Abdul Wahab Othman, 62 kelihatan sedih melihat salah satu unit bilik chalet miliknya yang menunggu masa untuk runtuh selepas dipukul ombak ketika tinjauan di Pantai Kampung Tanjung di Batu Rakit. FOTO GHAZALI KORI

Menurutnya, keadaan cuaca kembali cerah menyebabkan dia berasa lega dan berusaha mencari jalan bagi mengelak chalet itu hanyut.

"Sebelum kejadian, saya bercadang membina benteng pemecah ombak di kawasan chalet sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.

"Saya sudah membeli keperluan seperti batu dan peralatan lain untuk membina benteng itu, namun tidak sempat apabila ia terlebih dahulu dibadai ombak.

"Keadaan cuaca sudah kembali cerah ketika ini dan saya merancang untuk memasang tiang menggunakan batang pokok nibong buat sementara waktu bagi mengelakkan ia hanyut," katanya.

Sementara itu, pekerja chalet, Muhamad Fakrul Mohd Jailani, 23, berkata, kejadian Jumaat lalu disifatkan paling buruk sepanjang tempoh empat tahun kebelakangan ini apabila dua pondok rehat pengunjung serta pagar hilang sekelip mata dipukul ombak.

"Sebelum musim tengkujuh, jarak chalet ke pantai masih jauh kira-kira enam meter, tetapi kini sangat dekat.

"Kerja-kerja baik pulih akan dilakukan awal bulan depan iaitu sebaik sahaja musim tengkujuh berakhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 6:01 PM