Zaid Salim

Besut: Tidak sanggup melihat rumah didiami sejak 30 tahun lalu musnah dibadai ombak, seorang bapa membina sendiri benteng pemecah ombak di sekitar kediamannya di Kampung Pengkalan Atap, di sini.

Mohd Naffi Sulong, 57, berkata, dia membina benteng menggunakan guni pasir pantai itu sejak Oktober lalu dengan bantuan anak, Muhammad Azman, 31.

Dia yang bekerja sebagai nelayan berkata, sehingga kini dia meletakkan 300 guni pasir di belakang dan tepi rumahnya bagi mengurangkan kesan ombak membadai kediamannya.

"Selain guni pasir, saya mengangkut batu ditenggelami air dan meletakkan batu di dalam jaring dawai dan tali bagi mengelak ia dihanyutkan ombak.

"Batu itu adalah kesan jalan runtuh akibat hakisan teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Dahulu rumah saya terletak kira-kira satu kilometer dari pantai, namun kini ada kala berada di dalam air apabila berlaku air pasang besar," katanya ketika ditemui selepas dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, semalam.

Menurutnya, kesan daripada hakisan, 16 rumah musnah dan dihanyutkan arus dipercayai akibat pembinaan benteng pemecah ombak terbengkalai sejak 2019 lalu.

Katanya, jika benteng berkenaan siap, hakisan tidak akan berlaku di kawasan berhampiran.

"Sehubungan itu, saya merayu pihak berkenaan menyegerakan projek ini kerana bimbang kediaman saya menjadi mangsa ke-17 akibat hakisan pantai.

"Kini kediaman saya hanya menunggu masa untuk dihanyutkan arus berikutan sudah banyak dinding terutama bahagian dapur menghala ke laut retak.

"Sekiranya dinding pecah, sudah tidak ada gunanya lagi. Sedih apabila setiap hari melihat rumah dibadai ombak dan setiap malam saya berganti tidur dengan anak bagi mengawasi keadaan kerana bimbang berlaku sesuatu tidak diingini," katanya.

Sementara Tengku Zaihan berkata, pihaknya akan memberi bantuan segera membina benteng pemecah ombak dengan kos perbelanjaan RM10,000.

Beliau berkata, pihaknya akan membina benteng itu dengan batu secara bergotong-royong membabitkan pelbagai agensi termasuk Pemuda Umno Bahagian Kuala Besut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 6:54 PM
MOHD Naffi (kanan) bersama anggota polis IPD Besut melihat keadaan fenomena air pasang besar di belakang rumahnya di Kampung Pengkalan Atap. FOTO Zaid Salim
MOHD Naffi (kanan) bersama anggota polis IPD Besut melihat keadaan fenomena air pasang besar di belakang rumahnya di Kampung Pengkalan Atap. FOTO Zaid Salim