YUSOF (berkain pelikat) ketika menerima kunjungan Zarina (dua dari  kanan) petang tadi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
YUSOF (berkain pelikat) ketika menerima kunjungan Zarina (dua dari kanan) petang tadi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Betty Subaryati


Kota Bharu: Warga emas berdepan detik cemas apabila hampir dihanyutkan arus selepas rumahnya dibadai ombak besar akibat air pasang besar di Kampung Pantai Kundor, petang semalam.

Dalam kejadian 6 petang itu, mangsa Yusof Taib, 80, bagaimanapun sempat berpaut pada tiang rumahnya sebelum menyelamatkan diri.

Yusof berkata, ketika kejadian dia berada di beranda rumahnya yang terletak 2 meter dari pantai sebelum tiba-tiba rumahnya bergegar dibadai ombak besar.

Katanya, gegaran itu menyebabkan dia terpelanting dan hampir dihanyutkan arus.

"Mujurlah saya sempat berpaut pada tiang rumah sebelum saya terus menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam rumah yang sudah mulai dipenuhi dengan air dan pasir

"Selepas mengemas barang keperluan saya bersama keluarga keluar ke Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Kundor," katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan daripada Ketua Wanita UMNO Bahagian Pengkalan Chepa Zarina Md Eusope di sini, petang tadi.

Menurutnya, rumahnya kini rosak teruk akibat dibadai ombak.

"Sebelum ini, rumah yang rosak akibat fenomena sama bulan lalu sudah dibaiki, namun ia rosak kembali.

"Saya berharap ada pihak tampil membantu meringankan beban kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, portal eBanjir Kelantan merekodkan seramai 85 mangsa membabitkan 17 keluarga berbanding 78 mangsa semalam ditempatkan di pusat pemindahan SK Pulau Kundor sejak semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 3:00 PM