Sebahagian pesakit kanser dan sukarelawan Cancer Survivors Malaysia  (CSM) yang diraikan, semalam. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Sebahagian pesakit kanser dan sukarelawan Cancer Survivors Malaysia (CSM) yang diraikan, semalam. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Cancer Survivors Malaysia (CSM) meraikan 60 pesakit kanser termasuk sukarelawan di seluruh negara ini dalam satu majlis di sini, semalam.

Pengerusi CSM, Zuraini Kamal berkata, majlis itu diadakan bertujuan mengeratkan hubungan sesama mereka selain memberi sokongan dan semangat kepada sebahagian pesakit kanser yang terus berjuang untuk melawan penyakit mereka.

Selain itu, beliau berkata, sukarelawan CSM dari seluruh negara ini juga banyak memberi sumbangan dari segi tenaga kerja selain turun padang menghulurkan bantuan ketika menziarahi pesakit kanser.

"Program seperti ini dapat memberi peluang pesakit juga turut berkongsi masalah dihadapi selain bertukar pandangan.

"Insya-Allah program ini akan diadakan setiap tahun untuk memberi peluang kepada pesakit kanser dan sukarelawan CSM yang lain untuk menyertainya," katanya ketika ditemui.

Zuraini berkata, kini pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) itu kini sudah mencecah 30,000 ahli di negara ini.

Beliau berkata, CSM yang ditubuhkan sejak 2017 turut membantu pesakit kanser dari segi kewangan, katil pesakit, barangan keperluan dapur, susu formula serta sokongan moral dan banyak lagi.

"Pesakit akan rasa lebih kuat jika mereka sering didampingi, malah kita turut menasihatkan mereka supaya sentiasa mengikut rawatan doktor memandangkan ada yang sudah tahap dua, tiga dan empat.

"Selain itu, sukarelawan CSM sebelum ini turut bergerak membantu pesakit dengan menghulurkan sumbangan ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dua tahun lalu dan melalui majlis ini, kami dapat mengeratkan silaturahim," katanya.

Sementara itu, Jamilah Ahmad, 52, berkata, dia yang juga pesakit kanser payu dara tahap tiga, sangat teruja kerana dapat menyertai program Majlis Aspreasi Sukarelawan CSM serta pesakit kanser yang datang dari serata negeri.

Katanya, dia yang sudah hampir sembuh dari penyakit itu rasa lebih bersemangat kerana dapat bersama dengan pesakit kanser lain di bawah CSM.

"Saya rasa lebih kuat untuk melawan kanser ini yang dihidapi sejak 2011 Dan dapat bersama dengan warga CSM selain memberi tips kepada pesakit kanser yang baru untuk kekuatan dalam menghadapi ujian ini.

"Saya juga banyak membantu CSM untuk mencari pesakit kanser baru yang memerlukan bantuan dan sokongan moral," katanya yang datang dari Padang Terap, di sini.

Pesakit kanser limfoma tahap tiga, Marsuzanty Md Taib, 47, berkata, dia yang masih menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan Hospital Pulau Pinang (HPP) sangat seronok dapat menyertai program itu sekali gus dapat melupakan sementara kanser yang dialami.

Katanya, walaupun sudah banyak kali menjalani kemoterapi dan rawatan lain namun dia bersyukur masih sihat dan diberi kekuatan untuk menjalani kehidupan ini.

"CSM banyak membantu saya memberi sokongan moral serta bantuan yang diperlukan," katanya yang menetap di Jitra.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 1:07 PM