SITUASI sekitar operasi pemindahan mangsa banjir di lokasi terjejas di Kudat.
SITUASI sekitar operasi pemindahan mangsa banjir di lokasi terjejas di Kudat.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Tiga daerah di negeri ini dilaporkan dilanda banjir dengan Kudat menjadi yang terkini diisytihar terjejas setakat 12 tengah hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan jumlah mangsa turut meningkat kepada 251 mangsa.

"Paitan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 88 mangsa, diikuti dengan Kudat (84 mangsa) dan Pitas (79 mangsa).

"Daripada jumlah itu, sebanyak 125 mangsa terdiri daripada orang dewasa dan warga emas, manakala 126 mangsa adalah kanak-kanak," katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, terdapat tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan bagi menempatkan mangsa-mangsa yang terjejas.

"Tiga PPS beroperasi di Pitas iaitu Rumah Ketua Kampung Sinasak Batu (18 mangsa), Surau Kampung Sibuang (38 mangsa) dan Dewan Kampung Kusilad (23 mangsa).

"Manakala, dua PPS di Paitan ialah Dewan Kampung Kubambangan (38 mangsa) dan Dewan Kampung Batangon Darat (50 mangsa).

"Dua PPS yang dibuka di Kudat ialah Dewan Terbuka Matunggong (27 mangsa) dan Dewan SK Sikuati (57 mangsa)," katanya.

Katanya, trend semasa situasi banjir di Sabah masih menunjukkan peningkatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 1:58 PM