FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Putrajaya: Polis menahan seorang penuntut lelaki warga Palestin yang dipercayai mengintai sebuah rumah didiami penuntut wanita warga tempatan di Mutiara Ville di Cyberjaya, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mangsa membuat laporan setelah mendapat maklumat daripada jiran bahawa terdapat seorang lelaki disyaki berbangsa Arab mengintai rumahnya.

"Lelaki itu membuka cermin tingkap tandas dan berdiri di ruang tepi untuk mengintai dan mengambil seluar milik rakan serumah wanita itu.

"Perbuatan lelaki itu dirakam oleh jiran pengadu dan lelaki berkenaan melarikan diri," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat pemeriksaan di bahagian balkoni belakang dan mendapati sehelai seluar panjang warna kelabu milik rakan serumahnya tiada dan ketika kejadian, tiada sesiapa berada dalam tandas.

"Lelaki Palestin itu ditahan kira-kira 4 petang tadi (hari ini) di Mutiara Ville.

"Polis merampas telefon bimbit, baju, seluar dan selipar yang digunakan namun seluar milik rakan serumah pengadu belum dijumpai. Siasatan masih diteruskan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 509 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 10:00 PM