Siti Rohana Idris


Tanah Merah: Tiga lelaki yang terbabit dalam kes kecurian motosikal yang dinamakan 'Geng Kecik Batang Merbau' ditahan polis menerusi tiga tangkapan berasingan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, suspek pertama ditahan awal pagi 10 Januari lalu di tepi jalan di Kampung Air Laka, Batang Merbau di sini.

"Hasil pemeriksaan menjumpai beberapa peralatan disyaki untuk mencuri motosikal dan berdasarkan soal siasat, suspek berusia 27 tahun itu mengaku mencuri tiga motosikal di kawasan Tanah Merah dan Batang Merbau termasuk sebuah di Kuantan, Pahang.

"Susulan itu, dua lagi rakan suspek yang berusia 23 dan 29 tahun turut ditahan dan hasil soal siasat mendapati geng ini aktif sejak sebulan lalu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di sini, hari ini.

Mohd Haki berkata, empat buah motosikal juga dirampas iaitu dua jenis Honda EX5 dan dua lagi Yamaha 125Z.

Menurutnya lagi, dua daripada suspek yang ditahan masing-masing memiliki tiga rekod lampau bersabit dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 378A Kanun Keseksaan (KK) kerana curi motosikal dan Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) atas kesalahan memiliki barang secara haram," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Haki berkata, seramai 39 individu ditahan dalam operasi khas 'War In Place' dilancarkan selama tiga hari di gugusan Felda Kemahang.

Katanya, daripada jumlah itu, 35 adalah bersabit kes narkotik manakala selebihnya adalah kesalahan jenayah.

"Dalam operasi yang bermula kelmarin hingga hari ini, antara barangan yang dirampas ialah 20.4 kilogram (kg) daun ketum, 55.6 liter (l) air ketum, 231 biji pil kuda dan 100 ml kodein dengan nilai dianggarkan RM3,000.

"Empat suspek yang ditahan untuk kesalahan jenayah adalah berkait kes mendatangkan kecederaan serta curi kelapa sawit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 6:31 PM
Mohd Haki (tengah) menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam operasi khas 'War In Place. FOTO Siti Rohana Idris.
Mohd Haki (tengah) menunjukkan daun ketum yang dirampas dalam operasi khas 'War In Place. FOTO Siti Rohana Idris.