Dua lelaki disaman masing-masing kerana menunggang motosikal tanpa lesen. FOTO TULAR DAN IHSAN POLIS
Dua lelaki disaman masing-masing kerana menunggang motosikal tanpa lesen. FOTO TULAR DAN IHSAN POLIS
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Tindakan dua lelaki menunggang motosikal tanpa lesen, tidak memakai topi keledar dan mengganggu pengguna jalan raya lain di Jalan Skudai - Pantai Lido dekat sini akhirnya menerima padah apabila disaman polis.

Kejadian Rabu lalu yang berlaku kira-kira jam 9.42 malam tular di media sosial dan bertindak dari situ polis berjaya mengesan kedua-dua lelaki itu yang diminta tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, saman Pol 257 itu dikeluarkan ke atas penunggang motosikal kerana menunggang motosikal tanpa lesen yang sah dan pemboncengnya kerana tidak memakai topi keledar.

Beliau berkata, terdahulu, kedua-dua lelaki berusia 20-an itu tampil ke IPD Johor Bahru Selatan untuk tindakan selanjutnya selepas berjaya dikesan pihaknya.

"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Johor Bahru Selatan mengesahkan ada menerima maklumat berkaitan satu video berdurasi 29 saat yang tular di media sosial Twitter memaparkan dua individu menaiki motosikal mengganggu pengguna jalan raya lain.

"Dalam video itu jelas kelihatan pembonceng motosikal Yamaha Y16Z terbabit tidak memakai topi keledar.

"Mereka datang dari arah Skudai menghala ke pusat bandar mengganggu dua wanita yang juga sedang menunggang motosikal sehingga menimbulkan rasa trauma dan takut mangsa," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 3:08 PM