Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Penduduk Kampung Tersang, di sini, bimbang kediaman mereka berisiko untuk runtuh kerana digenangi air tempoh yang lama, malah sehingga kini penempatan itu masih dilanda banjir termenung.

Tinjauan ke penempatan terbabit, hari ini, mendapati kawasan halaman rumah masih digenangi banjir separas 0.4 meter dengan warna air kegelapan dan berbau busuk.

Penduduk, Zulkafli Mohamad, 60, berkata mereka tidak senang duduk memikirkan keadaan rumah selain terpaksa berhadapan dengan risiko penyakit bawaan air memandangkan situasi banjir termenung yang sedang berlaku.

"Rumah di sini digenangi air lebih dua minggu. Pemilik rumah batu gelisah memikirkan keadaan rumah, apatah lagi yang tinggal di rumah kayu, lebih-lebih lagi apabila sudah beberapa kali ditenggelami air.

"Semua orang tahu, kayu apabila banyak kali berendam sudah pasti mudah rosak dan reput. Macam mana kami tidak bimbang, tambahan pula, ini adalah satu-satunya rumah yang kami ada.

"Sekarang ini, cuaca masih lagi tidak menentu menyebabkan air di perkarangan rumah masih ada dan hanya akan surut jika cuaca panas," katanya ketika ditemui di Kampung Tersang, di sini, hari ini.

Zulkafli berkata, penempatan itu didakwa dilanda banjir besar selepas pembinaan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok berdekatan kawasan terbabit.

Sementara itu, Norizan Che Soh, 54, berkata sejak beberapa hari lalu rumahnya 'diselubungi' bau busuk kerana air yang terperangkap dan tidak mengalir.

"Malah, ada jiran yang memberitahu mereka mula berasa gatal pada kulit selepas terpaksa mengharungi banjir termenung untuk pulang ke rumah. Saya sendiri menasihatkan anak dan cucu untuk tidak bermain air kerana risau boleh membawa penyakit lain.

"Selain itu, kami juga berisiko dengan haiwan berbisa seperti ular, lipan dan kala jengking yang banyak ditemui selepas banjir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 1:46 PM