Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: "Kediaman kami hanya tunggu masa rebah ke bumi, semua tiang rumah sudah jatuh daripada kedudukan asal disebabkan arus banjir yang deras Disember lalu," luah Din Abd Rahman, 59.

Tinjauan ke kediamannya di Kampung Tersang, di sini, mendapati kedudukan rumah itu juga sudah senget menyebabkan Din sekeluarga tidak berani untuk menjejakkan kaki di bahagian terbabit.

Dia yang juga bapa kepada lima cahaya mata mengakui mereka sekeluarga kini tinggal ruang sebelah yang dibina lebih tinggi, tetapi dilihat turut terkesan kerana dibina bersebelahan dengan bahagian yang hampir runtuh itu.

"Jika banjir melanda sekali lagi, kemungkinan besar kediaman saya musnah sepenuhnya. Saya hidup dalam kebimbangan, tambahan pula kami sekeluarga tiada wang untuk membaik pulih kerosakan yang sedia ada.

"Selain itu, sejak seminggu lalu rumah saya digenangi air separas 0.3 meter kerana hujan yang turun hanya dalam tempoh dua hari. Air seperti tiada tempat untuk mengalir dan menjadi banjir termenung sehingga menyebabkan bau busuk.

"Banjir pada Disember lalu, benar-benar memberi kesan kepada kami kerana paras air tinggi dengan arus yang deras menyebabkan kami berhadapan dengan kemusnahan harta benda yang banyak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tersang di sini.

Tinjauan ke penempatan itu, mendapati terdapat tiga rumah yang hampir runtuh selain terdapat penghuni yang masih perlu meredah air untuk ke rumah masing-masing susulan banjir termenung dalam tempoh yang agak lama.

Din turut berkongsi pengalamannya menyertai demonstrasi aman yang diadakan di kampungnya dan disertai lebih 500 penduduk di sekitar Rantau Panjang.

"Penduduk tahu punca banjir besar berlaku adalah kerana pembinaan benteng berdekatan kawasan ini. Justeru besar harapan kami supaya pihak bertanggungjawab dapat mencari inisiatif terbaik bagi menyelesaikan isu banjir ini.

"Sejujurnya, setiap tahun kami berhadapan dengan banjir, tetapi bukan bah besar dan lama seperti ini. Saya sendiri merayu supaya selesaikan masalah ini kerana sudah tidak sanggup melihat satu-satunya rumah yang ada terus musnah begitu sahaja," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, hampir 100,000 penduduk 62 kampung di seluruh Rantau Panjang mengakui kecewa dengan pembinaan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang dianggap gagal.

Penduduk mendakwa sejak pembinaan benteng dimulakan pada 2018, keadaan banjir di kampung terbabit menjadi semakin teruk dengan kemuncaknya pada Disember tahun lalu apabila hanya tujuh kampung di Parlimen Rantau Panjang yang terselamat dari bencana alam itu.

DIN menunjukkan keadaan rumahnya. FOTO Syaherah Mustafa
DIN menunjukkan keadaan rumahnya. FOTO Syaherah Mustafa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 10:51 AM