Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dua kali lagi sehingga mencapai kadar 3.25 peratus semula untuk tahun 2023.

Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, BNM biasanya sentiasa akan cuba meletakkan OPR pada kadar antara 3 peratus hingga 3.5 peratus.

Beliau berkata, kadar OPR sekarang ini 2.75 peratus dan dijangka akan dinaikkan lagi sekurang-kurangnya dua kali lagi tahun ini sebab pada sebelum kemelesetan berlaku pada prapandemik, tahun 2019 OPR adalah 3.25 peratus.

"BNM sentiasa akan cuba meletakkan OPR pada kadar antara 3 peratus hingga 3.5 peratus. Itu dia punya 'rule of thumb' (mengikut kebiasaan) BNM akan letak di situ tetapi OPR akan diturunkan apabila BNM melihat bahawa aliran wang di dalam pasaran lembab tak cukup.

"Jadi BNM menurunkan kadar dengan matlamat semua pengguna keluarkan duit daripada bank dan balik ke dalam pasaran. Apabila wang dalam pasaran banyak, permintaan berkesan bertambah maka kadar pertumbuhan akan meningkat... dan apabila ia sudah terlampau panas pula kerana terlalu banyak wang tunai dalam pasaran, BNM naikkan kadar semula untuk mengutip balik atau menyapu bersih kecairan supaya kecairan berkurang dalam pasaran," katanya.

Tahun lalu bank pusat sudah menaikkan OPR empat kali berturut-turut sejak kali pertama pada 11 Mei 2022.

Ditanya tanggapan umum bahawa OPR hanya menguntungkan bank dan bagi pihak rakyat pula menyebabkan lagi sengsara, Barjoyai berkata, tanggapan demikian memang ada betulnya.

Katanya, ini disebabkan apabila OPR dinaikkan, yang akan mendapat faedah ialah bank kerana bank akan mengenakan kadar yang lebih tinggi jadi bank akan menambahkan keuntungannya.

Bagaimanapun, menurutnya itu bukanlah matlamat OPR atau bermakna BNM bersekongkol dengan bank untuk memaksimakan untung bank tetapi tujuannya hanyalah untuk menyelaraskan volum tunai dalam pasaran dengan manfaat atau kesannya kepada rakyat adalah lebih berjangka panjang.

"Bagaimana rakyat nak menyusun semula perbelanjaan sebab sebelum ini bayar kurang tetapi selepas ini kena bayar lebih? Sebenarnya pada 2019 peminjam membayar pada kadar 3.25 peratus OPR. Tetapi OPR dan kadar pinjaman bank ada perbezaan sedikit kerana dia ada 'mark- up.'

"Bezanya kalau 3.25 peratus, margin dalam 2 peratus jadi mungkin 5.5 peratus misalnya.

"Jadi, masa itu semua peminjam bayar 5.5 peratus. Kemudian apabila OPR turun menjadi 1.75 peratus mendadak menurun daripada 3.25 peratus. Ketika itu ansuran pinjaman berkurang dengan banyak.

"Contohnya jika dia meminjam RM100,000 ia berkurang kira-kira RM200. Jadi sekarang ini, OPR naik balik dianggarkan setiap dua bulan naik. Sepatutnya kepada peminjam, mereka sudah memang bersedia sebab masa meminjam dahulu pun dan bayar pada kadar 3.25 peratus campur 'mark-up,'" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 11:07 AM