LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) digesa memberi penjelasan dalam 'bahasa mudah' kepada rakyat berhubung signifikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan hingga tiga peratus.

Ketua Penerangan Wanita Umno Datuk Rosni Zahari berkata, sehingga hari ini penjelasan yang diberikan oleh BNM adalah teknikal dan kurang difahami.

Menurutnya keadaan itu menyebabkan timbul persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan.

"Kesan kenaikan OPR secara agresif adalah kali kelima sejak Mei 2022 menyebabkan kadar bayaran balik pinjaman meningkat secara drastik.

"Keadaan ini membebankan peminjam terutama golongan B40. Oleh itu, Wanita Umno mendesak BNM supaya memberi jaminan bahawa tiada lagi kenaikan OPR dalam masa terdekat.

"Ini dengan mengambil kira nasib rakyat sedang bergelut dengan situasi ekonomi yang sangat mencabar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Wanita Umno juga ingin mencadangkan supaya BNM mengambil jalan tengah dan mempunyai sedikit empati dengan mengarahkan semua bank agar memberi pengecualian kenaikan ini kepada golongan sasar atau terjejas.

Terdahulu, MPC BNM pada Rabu membuat keputusan di luar jangkaan dengan menaikkan OPR 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

Kenaikan OPR itu adalah pertama bagi tahun ini selepas penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di Malaysia itu dikekalkan pada Januari dan Mac lalu pada paras 2.75 peratus.

Dalam satu kenyataan, BNM berkata, ekonomi global terus didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh serta pemulihan ekonomi China yang lebih kukuh daripada jangkaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 6:50 PM