Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang peniaga warung yang tergamak melakukan sumbang mahram dan seks luar tabii terhadap anak tiri dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 19 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini.

Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 38 tahun selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 12 tahun.

Mengikut enam pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan anak tirinya yang kini berusia 14 tahun di dua lokasi di Jempol.

Kesalahan itu dilakukan antara jam 8 malam hingga 2 pagi iaitu antara 1 Januari 2021 hingga 10 Disember 2022.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 30 tahun serta sebatan.

Selain itu, tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan tanpa kerelaannya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah kedai di Jempol pada jam 8 malam antara 11 April 2021 hingga 20 April 2021.

Bagi kesalahan itu tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun serta sebatan.

Sebelum itu tertuduh merayu hukumannya dikurangkan dan mengakui menyesal atas perbuatannya.

Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung memohon mahkamah memberi hukuman yang setimpal dan boleh memberi pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam kerana ia adalah kesalahan serius.

Ujarnya, tertuduh sepatutnya melindungi mangsa yang ketika itu baharu berusia 12 tahun dan bukannya menganiyanya.

"Pihak pendakwaan juga menghujahkan emosi mangsa yang masih kanak-kanak akan terganggu sehingga dewasa kelak,"katanya.

End

Caption: SEREMBAN 5 JANUARI 2023. Tertuduh yang berusia 38 tahun dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan persetubuhan dengan anak tiri perempuan. Foto Azrul Edham.

From: Hasbi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 4:38 PM