Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


Shah Alam: Seorang penjual sayur yang memperkosa anak tirinya dijatuhi hukuman penjara 32 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan.

Tertuduh berusia 41 tahun dituduh atas dua tuduhan meliwat dan merogol anak tirinya berusia 14 tahun di sebuah rumah di Sungai Buloh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii sekitar Disember 2011 antara jam 10 pagi hingga 4 petang.

Tertuduh juga dituduh sekali lagi melakukan perbuatan sama terhadap mangsa pada 6 Oktober 2013 antara jam 2.30 hingga 3 pagi di lokasi sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan bagi kesalahan liwat yang pertama dan penjara 10 tahun serta lima sebatan untuk kesalahan liwat kedua.

Selain itu, tertuduh dituduh merogol mangsa antara Januari hingga Februari 2013 jam 2.30 pagi di lokasi yang sama di mana perhubungannya dan mangsa adalah tidak dibenarkan di bawah undang-undang dan hukum agama untuk berkahwin.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 375(3) KK kerana merogol yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan.

Slamat menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan terhadap tertuduh selepas disabit melakukan kesalahan itu.

Tertuduh yang berbaju hitam hanya tunduk ketika hukuman dibacakan Slamat dan semua hukuman dijalankan secara berturutan.

Peguam bela Lee Teong Hooi yang mewakili tertuduh memohon mahkamah untuk menjatuhkan hukuman penjara serentak bagi ketiga-tiga kesalahan selain hukuman itu bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 7 Oktober 2013.

Sepanjang perbicaraan seramai sembilan saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan di mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 5:50 AM