Zatul Iffah Zolkiply

Jertih: Syarikat insurans digalakkan mendekati penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir bagi memberi pendedahan dan manfaat tentang kepentingan insurans.

Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia bagi membantu mereka yang terjejas akibat bencana itu melindungi harta benda mereka terutama bagi penduduk yang tinggal di kawasan yang kerap dilanda banjir.

"Saya kira adalah menjadi tanggungjawab syarikat insurans dan insurans ini perlu diberikan kefahaman terutama di peringkat luar bandar supaya kawasan-kawasan banjir terutamanya mereka ini boleh diberikan insurans berprinsipkan Islam untuk bangunan, rumah dan kenderaan.

"Jadi apabila berlaku kejadian-kejadian seumpama ini, saya harap insurans ini boleh melindungi mereka.

"Bolehlah diperjelaskan kepada rakyat di kawasan tertentu terutama yang pernah dilanda banjir supaya mereka boleh faham tentang insurans," katanya.

AHMAD Maslan (tengah) mencuci meja sekolah yang dipenuhi lumpur akibat banjir  di SK Kampung La. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Maslan (tengah) mencuci meja sekolah yang dipenuhi lumpur akibat banjir di SK Kampung La. FOTO Ghazali Kori

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La di sini, hari ini.

Pada majlis itu, 200 mangsa banjir di kampung itu menerima bantuan barangan makanan.

Ahmad turut melawat rumah penduduk yang musnah akibat banjir luar jangka pada 18 Disember lalu.

Media sebelum ini melaporkan satu daripada dua rakyat Malaysia tidak mempunyai perlindungan insurans atau takaful bagi kediaman mereka dan 74 peratus pemilik rumah tidak mendapatkan perlindungan insurans bagi impak kerosakan banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful Malaysia Berhad Shamsul Azmanberkata, hasil kaji selidik dijalankan Zurich Malaysia pada September tahun lalu turut mendapati 43 peratus pemilik kediaman tidak tahu isi kandungan rumah iaitu barangan di dalam rumah tidak semestinya dilindungi insurans atau takaful.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 3:31 PM