Zatul Iffah Zolkiply

Jertih: Kerajaan akan mempertimbangkan pembinaan rumah berkonsepkan Rumah Mesra Rakyat (RMR) kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat banjir di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia antara usaha kerajaan untuk membantu penduduk yang terjejas akibat bencana berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu bersama Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) iaitu salah sebuah Syarikat Milik Menteri Kewangan (Diperbadankan).

"Saya akan menyemak apabila berada di Kuala Lumpur petang esok untuk mendapatkan data daripada SPNB. Kita akan lihat apakah bantuan rumah banjir yang boleh mereka (SPNB) bantu untuk memudahkan pembinaan semula rumah yang berkaitan.

"Bagaimanapun, rumah itu tidak percuma namun ada kaedah bayaran yang tidak terlalu tinggi dan mampu milik dengan pemberian subsidi yang besar.

"Rumah mesra rakyat ini ada bentuk khas dan dibina oleh kontraktor tempatan dengan harga antara RM70,000 hingga RM80,000," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La di sini, hari ini.

AHMAD (tengah) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di SK Kampung La. FOTO Ghazali Kori
AHMAD (tengah) menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di SK Kampung La. FOTO Ghazali Kori

Pada majlis itu, seramai 200 mangsa banjir di kampung itu menerima bantuan barangan makanan.

Ahmad turut melawat rumah penduduk yang musnah akibat banjir luar jangka pada 18 Disember lalu.

Ahmad berkata, pembinaan RMM itu juga mempunyai beberapa syarat tertentu yang perlu dipenuhi seperti penduduk perlu mempunyai tapak rumah dan mendapat persetujuan ahli keluarga jika tanah itu bukan milik individu.

Bagaimanapun, pihaknya turut mengalu-alukan bantuan daripada pihak berkaitan yang mahu membantu mereka yang terjejas akibat bencana alam itu.

"Jadi ini satu kaedah bantuan yang boleh diperoleh tapi kalau ada bantuan dengan kaedah lain melalui Baitulmal dan sebagainya, kita serahkan kepada kepada individu yang rumahnya musnah untuk membuat pilihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 4:38 PM