LONGGOKAN sampah yang dibuang penduduk pangsapuri. FOTO arkib NSTP
LONGGOKAN sampah yang dibuang penduduk pangsapuri. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemegang polisi insurans hayat dan sijil takaful keluarga yang terjejas akibat bencana banjir, baru-baru ini, ditawarkan pelbagai langkah sokongan dan bantuan termasuk tempoh masa tambahan beberapa bulan bagi pembayaran premium atau caruman.

Langkah-langkah ini yang tertakluk kepada terma dan syarat syarikat insurans dan pengendali takaful diumumkan oleh Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Langkah-langkah lain termasuklah penstrukturan semula kaedah pembayaran premium/caruman daripada asas tahunan kepada bulanan; melanjutkan tempoh tangguh (biasanya 30 hari) kepada tempoh pembayaran yang lebih lama; dan mengurangkan atau mengetepikan bayaran faedah bagi pinjaman polisi/sijil di bawah pilihan Pinjaman Premium Automatik (APL).

Langkah lain seterusnya adalah penepian kos pencetakan bagi penggantian polisi insurans, sijil takaful dan kad perubatan.

Presiden LIAM Loh Guat Lan berkata, syarikat ahli persatuan itu komited untuk menyediakan sokongan yang perlu kepada keluarga yang terkesan akibat banjir supaya mereka boleh merasa lega apabila mengetahui keperluan insurans mereka terjaga.

"Kami ingin menasihati pemegang polisi/sijil untuk menghubungi syarikat insurans/takaful mereka bagi mendapatkan butiran terperinci mengenai langkah bantuan yang ditawarkan oleh syarikat insurans hayat mereka," katanya.

Sementara itu, Pengerusi MTA Elmie Aman Najas berkata, industri insurans dan takaful menumpukan untuk membantu mangsa dalam keadaan mereka amat memerlukan.

"Banjir sudah menjejaskan keluarga, perniagaan dan kesejahteraan mangsa dan langkah-langkah bantuan yang perlu akan membantu mengurangkan bebanan mereka semasa tempoh sukar ini," katanya sambil menambah inilah masanya bagi industri untuk memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dalam membantu mangsa yang terkesan akibat banjir.

Memandangkan keadaan setiap kes atau tuntutan mungkin berbeza, pemegang polisi/sijil yang terjejas dan tidak pasti mengenai liputan perlindungan mereka dinasihatkan untuk menghubungi syarikat insurans dan pengendali takaful mereka bagi mendapatkan maklumat lanjut dan penjelasan.

TAMAT.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 5:08 PM