Uggah bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berkunjung ke rumah terbukanya sempena Hari Krismas hari ini. FOTO NADIM BOKHARI
Uggah bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berkunjung ke rumah terbukanya sempena Hari Krismas hari ini. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sebanyak 77 lokasi di Sarawak dikenalpasti berisiko tinggi berlakunya runtuhan cerun khususnya ketika musim hujan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pemantauan rapi kini sedang dijalankan di semua lokasi terbabit yang dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, beliau sudah mengarahkan semua Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) setiap bahagian di Sarawak untuk berbincang dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menjalankan kajian lanjut di semua lokasi terbabit.

"Kajian itu perlu bagi membolehkan kita membuat keputusan segera mengenai tindakan sewajarnya bagi mengelakkan sebarang tragedi.

"Hasil daripada kajian itu juga membolehkan amaran awal diberikan kepada penduduk jika berlaku hujan lebat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka perayaan Krismas di kediamannya di Taman BDC, Stampin, di sini, hari ini.

Uggah berkata, kebimbangan terhadap ancaman runtuhan cerun itu menjadi kenyataan apabila sebuah rumah di Kampung Koram Mawang di Serian, rosak teruk akibat runtuhan tanah dua hari lalu.

Berikutan itu, seramai 57 penduduk daripada tujuh keluarga di kampung berkenaan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) kerana dikhuatiri runtuhan susulan berlaku.

"Saya meninjau lokasi kejadian itu semalam dan mendapati keadaan cerun di belakang kediaman penduduk memang merbahaya," katanya.

Tragedi tanah runtuh pernah menggemparkan negara apabila 16 penghuni rumah panjang di Ruan Changkul, Simunjan, mati tertimbus dalam kejadian oada 28 Januari 2002.

Selain itu katanya, orang ramai juga harus mengelakkan aktiviti luar seperti berkelah ketika musim hujan ini.

"Apabila hujan lebat berlaku di kawasan hulu, banyak kawasan di hilir berisiko dilanda kepala air dan itulah risiko kepada mereka yang melakukan aktiviti luar," katanya.

Menurutnya lagi, banyak jambatan serta jalan raya juga berisiko terputus ketika musim banjir, justeru JKR Sarawak diarah supaya bersedia sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif di Sarawak hari ini dengan jumlah mangsa yang ditempatkan turun kepada hanya 141 orang daripada 34 keluarga.

PPS terbabit ialah Dewan Serbaguna Kampung Rimba Padi di Serian yang menempatkan 84 mangsa banjir daripada 27 keluarga.

Satu lagi PPS iaitu di Dewan Kampung Koram Mawang, juga di Serian pula masih dibuka bagi menempatkan 57 mangsa yang dipindahkan akibat runtuhan cerun bukit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 5:02 PM