GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Petra Jaya: Jumlah kes positif Covid-19 yang naik mendadak sehingga mencecah angka tertinggi yang pernah direkodkan menjadi amaran kepada penduduk Sarawak supaya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keadaan sekarang semakin membimbangkan berikutan tahap kepatuhan kepada SOP yang semakin menurun.

Justeru, beliau dalam nada sedih merayu kepada penduduk Sarawak agar lebih bertanggungjawab dengan mematuhi kepada setiap arahan dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

"Berikutan kes yang dilaporkan hari ini adalah yang tertinggi yang pernah direkodkan, anggaplah ini sebagai satu amaran kepada kita.

"Selagi kita tidak mematuhi SOP, selagi itulah kes di Sarawak semakin meningkat," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, orang ramai harus sedar, peningkatan kes jangkitan akan membawa implikasi yang besar kepada wilayah Sarawak keseluruhannya.

"Jika keadaan ini berterusan, kita tidak dapat kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala.

"Sekali lagi saya ingin menyeru kepada orang ramai supaya terus kekal mematuhi SOP yang dikeluarkan, jangan lupa untuk memakai pelitup muka dan pastikan penjarakan fizikal diamalkan," katanya.

Hari ini, Sarawak mencatatkan angka tertinggi kes jangkitan harian dengan sebanyak 555 kes.

Daripada jumlah itu, Sibu mencatat 115 kes, Bintulu (112), Miri (70), Kapit (61), Meradong (57), Mukah (46), Kuching (29), Sarikei (12), Beluru (8), Subis (8), Sri Aman (7), Julau (7), Asajaya (4), Samarahan (3), Saratok (3), Selangau (2), Bukit Mabong (2), Tatau (2), Belaga (1), Betong (1), Song (1), Limbang(1), Bau (1), Serian (1), dan Sebauh (1).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 19,262 kes sejak kes pertama dikesan pada Mac tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 April 2021 @ 5:55 PM