Tanah runtuh yang berlaku di jalan perhubungan desa menuju ke Pos Balar, di sini, semalam. FOTO Ihsan Penduduk
Tanah runtuh yang berlaku di jalan perhubungan desa menuju ke Pos Balar, di sini, semalam. FOTO Ihsan Penduduk
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Tanah runtuh yang berlaku di laluan menuju ke perkampungan Orang Asli suku kaum Temiar dekat Pos Balar di sini, kelmarin menyebabkan penduduknya terperangkap.

Runtuhan yang berlaku kira-kira 1 tengah hari itu menjejaskan kehidupan kira-kira 800 penduduk di perkampungan terbabit apabila masing-masing tidak dapat keluar.

Penduduk Pos Balar, Rayes Angah, 20, berkata, dia bersama beberapa penduduk kampung melihat pergerakan tanah dan batu yang turun dan menyebabkan pokok tumbang dari atas Bukit Beringin.

Katanya, ketika kejadian, dia bersama beberapa penduduk berada berhampiran kawasan kejadian dalam perjalanan keluar ke Bandar Gua Musang.

"Bunyi tanah runtuh dan pokok tumbang mengejutkan kami dan rasa cemas sekiranya kejadian itu berlaku di tempat kami berada.

"Malah semalam, tiga kenderaan pacuan empat roda yang menghantar bekalan makanan di Pos Balar sempat melalui jalan itu sebelum berlaku runtuhan tanah.

"Syukur kami semua seramai tiga orang selamat dan terpaksa berpatah balik ke Pos Balar," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tok Batin Pos Balar, Alek Busu, 60, pula berkata, runtuhan tanah itu dipercayai berpunca daripada hujan berterusan sejak beberapa hari lalu, dan ia meresahkan mereka kerana 230 Ketua Isi Rumah (KIR) tidak dapat untuk sebarang urusan di bandar.

"Saya difahamkan sudah banyak pokok tumbang di kawasan Bukit Beringin sempadan Kampung Chahuh, Pos Belatim ke Kampung Peng, Pos Balar.

"Kami berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah jalan perhubungan desa ini, kerana itulah satu-satunya jalan untuk penduduk menghantar anak ke sekolah dan keluar untuk berurusan di Bandar Gua Musang" katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk Orang Asli dan merancang untuk mewujudkan laluan alternatif bagi memudahkan urusan penduduk kampung.

"Setakat ini kerja-kerja pembaikan cerun dan laluan tidak dapat dilakukan kerana tanah masih basah akibat cuaca hujan.

"Kita juga menasihatkan penduduk Orang Asli supaya berhati-hati dan tidak melalui jalan berisiko yang boleh wujudnya kejadian cerun atau tanah runtuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 1:00 PM